Friday, February 27, 2009

Boikot Produk Zionis


Sila perhatikan barkod 729 – ini adalah barangan buatan negara Zionis.

Barangan ini sedang menyusup masuk. Waspada di mana-mana sahaja ketika membeli belah.

Kempen boikot Zionis Isreal telah dilancarkan di seluruh dunia.

Sunday, February 22, 2009

Asli vs Tiruan


"Astroturf" ialah jenama rumput tiruan yang digunakan di padang sukan atau kediaman. Di sesetengah tempat, ia digunakan sebagai rumput hiasan jalanraya (lihat gambar di atas). "Astroturf" ialah nama khas. Sama seperti Xerox dan Google. Oleh kerana ia selalu digunakan, akhirnya nama itu menjadi kata kerja.

"Boleh tolong xerox kertas ni kat saya?" kata kawan anda. Apa yang dimaksudkannya ialah "photostat".

Begitu juga dengan Google. Anda tentu pernah berkata, "Nanti awak google dan carilah maksud perkataan tu." Perkataan "google" digunakan untuk menerangkan carian enjin.

"Astroturf" ialah jenama. Bagaimanapun, ia kini bertukar menjadi kata kerja. Pengamal perhubungan awam menggunakan istilah "astroturfing" bagi menerangkan strategi yang digunakan bagi menggambarkan sokongan spontan orang ramai terhadap sesuatu isu, individu atau organisasi, walaupun pada hakikatnya ia tidak semestinya begitu.

Susah nak faham?

Tak mengapa. Biar saya terangkan dengan lebih lanjut melalui ilustrasi contoh.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Dato' Ibrahim Ali yang mengatakan daripada 307 sms yang diterimanya, hanya 11 sms saja yang menentang beliau. Kata Ibrahim, itu tanda majoriti rakyat menyokong dia. Itu "astroturfing". Ibrahim menggunakan sms untuk menggambarkan sokongan rakyat. Betulkah majoriti rakyat menyokongnya? Belum tentu.

Media massa sering menggunakan teknik ini untuk menggambarkan sokongan orang ramai kepada sesuatu perkara.

Apabila Menteri Kewangan membentangkan bajet, maka akhbar dan tv akan mewawancara orang ramai. Berapa ramai? Mungkin tiga atau empat orang. Apa mereka kata? Ini bajet rakyat. Ini bajet prihatin. Ini bajet mesra rakyat. Itu kaedah "astroturfing" di mana media massa mewawancara beberapa orang bagi menunjukkan rakyat menyokong bajet tersebut.

Apabila Speaker Dewan Undangan Negeri Perak "menggantung" Dato' Dr Zambry Kadir dan enam ADUN lain, media massa akan menyiarkan komen pengamal undang-undang yang mempertikaikan kesahihan tindakan tersebut. Itu "astroturfing" untuk menunjukkan majoriti pengamal undang-undang tidak bersetuju dengan langkah berkenaan.

Adakah Barisan Nasional saja yang berbuat begitu? Tak juga.

Media yang pro-Pakatan Rakyat juga mewawancara pengamal undang-undang yang menyokong tindakan Speaker DUN Perak. Nak lebih menampakkan sokongan majoriti, mereka juga dapatkan pandangan Speaker DUN Kedah. Itu juga "astroturfing".

Akhbar Harakah dan Berita Keadilan -- sama seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan The Star -- akan mewawancara beberapa orang yang pro-Pakatan Rakyat bagi menggambarkan sokongan majoriti kepada sesuatu isu. Teknik "astroturfing" digunakan oleh semua pihak untuk meraih sokongan rakyat.

Di Indonesia, pollster tumbuh bagai cendawan. Masing-masing membuat poll dan menyiarkan dapatan itu bagi menyokong pandangan parti politik tertentu. Adakah dapatan poll itu salah. Tidak. Habis tu, apa masalahnya?

Masalahnya ialah niat awal mengadakan poll itu ialah untuk menjuruskan keputusannya ke satu arah tertentu. Mengapa berbuat begitu? Sekali lagi, poll digunakan bagi tujuan "astroturfing"; iaitu nak tunjukkan bahawa majoriti menyokong parti tersebut.

Jawapan yang diberikan oleh responden bergantung kepada banyak faktor. Antaranya ialah soalan, tempoh masa poll, dan bagaimana poll itu dikendalikan.

Lihat soalan ini:

(1) Adakah anda setuju untuk Elizabeth Wong meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor?

(2) Adakah anda setuju Exco Kerajaan Negeri Selangor sebagai pemimpin masyarakat perlu mempunyai nilai moral yang tinggi dalam kehidupan peribadinya?

Kedua-dua soalan itu memberikan jawapan yang berbeza. Kalau ditanya soalan (1), seseorang responden mungkin menjawab "Tidak Setuju". Bagaimanapun, sekiranya dihadapkan soalan (2), responden yang sama mungkin menjawab "Setuju".

Tempoh masa poll itu dijalankan juga memberikan jawapan yang berbeza. Apabila sesuatu isu mula meletup, orang menjadi begitu emosional. Jawapannya tatkala itu mungkin berbeza apabila soalan yang sama diberikan dua minggu selepas itu apabila isu tersebut mula reda.

Begitu juga, soalan yang dikemukakan secara bersemuka mungkin berbeza dengan jawapan yang diberikan melalui telefon atau internet (online). Biasalah, manusia lebih "manis" apabila bersemuka.

Sekarang musim pilihanraya di Indonesia. Eloklah sesekali membaca akhbar Indonesia (versi online) dan melihat bagaimana poll dimanipulasi untuk menggambarkan sokongan kepada seseorang calon atau parti politik. Itu "astroturfing".

Apa lagi kaedah "astroturfing"?

Mmm ... Nanti saya fikirkan ... Mmm ... Kempen tandatangan. Buat kempen tandatangan untuk tunjukkan masyarakat menyokong seseorang atau sesuatu isu. Adakah majoriti benar-benar memberikan sokongan? Belum tentu. Tetapi kaedah "astroturfing" melalui kempen tandatangan menggambarkan majoriti menyokong.

Cukuplah setakat itu saya memberikan beberapa contoh. Lihatlah perkembangan politik semasa di sekeliling anda dan nilai sendiri adakah itu "astroturfing".

Saya berpendapat bahawa masyarakat perlu dilengkapkan dengan "literasi politik". Salah satu perkara yang perlu difahami ialah kaedah mempengaruhi rakyat melalui teknik "astroturfing". Kalau rakyat ada literasi politik, mereka lebih mudah menilai maklumat yang diterima.

Oh ya, anda mungkin bertanya, yang manakah lebih baik. Adakah rumput sebenar atau rumput tiruan? Susah nak jawab soalan tu. Bukan apa, kalau kita berada di galeri penonton, susah nak bezakan antara rumput sebenar dan Astroturf.

Begitulah hebatnya kaedah "astroturfing" sehingga ramai orang keliru mana yang asli, mana yang tiruan!

( dipetik dan diubahsuai daripada www.nobisha.blogspot.com )

Saturday, February 21, 2009

Friday, February 20, 2009

Saya dapat anak buah baru..

Makluman :

Saniah dan Halem dah dapat baby pagi tadi - Jumaat 20.2.2009 jam 6.46 pagi. Sekarang (Jumaat 10.00 malam) masih di Hospital Selayang. Anak lelaki. 3.51 kg. Dijangka discaj dari hospital petang esok Malaysian time.

Madrasati Jannati...

KISAH PENDAYUNG SAMPAN

Suatu hari, seorang Professor yang sedang membuat kajian tentang lautan menumpang sebuah sampan. Pendayung sampan itu seorang tua yang begitu pendiam. Professor memang mencari pendayung sampan yang pendiam agar tidak banyak bertanya ketika dia sedang membuat kajian.Dengan begitu tekun Professor itu membuat kajian.Diambilnya sedikit air laut dengan tabung uji kemudian digoyang-goyang; selepas itu dia menulis sesuatu di dalam buku.

Berjam-jam lamanya Professor itu membuat kajian dengan tekun sekali. Pendayung sampan itu mendongak ke langit.Berdasarkan pengalamannya dia berkata di dalam hati, “Hmm. Hari nak hujan.” “OK, semua sudah siap, mari kita balik ke darat” kata Professor itu. Pendayung sampan itu akur dan mula memusingkan sampannya ke arah pantai. Hanya dalam perjalanan pulang itu barulah Professor itu menegur pendayung sampan. “Kamu dah lama kerja mendayung sampan?” Tanya Professor itu. “Hampir semur hidup saya.” Jawab pendayung sampan itu dgn ringkas. “Seumur hidup kamu?” Tanya Professor itu lagi. “Ya”. “Jadi kamu tak tahu perkara-perkara lain selain dari mendayung sampan?” Tanya Professor itu. Pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepalanya.

Masih tidak berpuas hati, Professor itu bertanya lagi, “Kamu tahu geografi?” Pendayung sampan itu menggelengkan kepala. “Kalau macam ni, kamu dah kehilangan 25 peratus dari usia kamu.” Kata Professor itu lagi, “Kamu tahu biologi?” Pendayung sampan itu menggelengkan kepala. “Kasihan. Kamu dah kehilangan 50 peratus usia kamu. Kamu tahu fizik?” Professor itu masih lagi bertanya. Seperti tadi, pendayung sampan itu hanya menggelengkan kepala. “Kalau begini, kasihan, kamu sudah kehilangan 75 peratus dari usia kamu.Malang sungguh nasib kamu, semuanya tak tahu.Seluruh usia kamu dihabiskan sebagai pendayung sampan.” Kata Professor itu dengan nada mengejek dan angkuh. Pendayung sampan itu hanya berdiam diri.

Selang beberapa minit kemudian, tiba-tiba hujan turun. Tiba-tiba saja datang ombak besar. Sampan itu dilambung ombak besar dan terbalik. Professor dan pendayung sampan terpelanting. Sempat pula pendayung sampan itu bertanya, “Kamu tahu berenang?” Professor itu menggelengkan kepala. “Kalau macam ini, kamu dah kehilangan 100 peratus nyawa kamu.” Kata pendayung sampan itu sambil berenang menuju ke pantai.

Morale of the Story:

Dalam hidup ini IQ yang tinggi belum tentu boleh menjamin kehidupan. Tak guna kita pandai dan tahu banyak perkara jika tak tahu perkara-perkara penting dalam hidup. Adakalanya orang yang kita sangka bodoh itu rupanya lebih berjaya dari kita.

Dia mungkin bodoh dalam bidang yang tidak ada kena mengena dengan kerjayanya, tetapi “MASTER” dalam bidang yang diceburi. Hidup ini singkat. Jadi, tanyalah pada diri sendiri,untuk apakah ilmu yg dikumpulkan jika bukan utk digunakan dan boleh digunakan?

Thursday, February 19, 2009

Pasukan Pancaragam SMKBU3

Kisah Perempuan Miskin, Lembu Tua dan Gaza

Lokasi kisah benar ini berlaku di salah sebuah daerah di Yaman dan ianya terjadi dalam bulan Januari lalu.

Kisah penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh penduduk Gaza tersebar ke seantero dunia. Semua marah, benci, kesumat dan mendidih pedih. Lebih banyak yang terasa sayu dan terharu apabila kanak-kanak kecil nan comel menjadi korban muntahan peluru dan darah membasah bumi tanpa henti.

Tragedi dasyhat ini juga sampai juga ke pengetahuan seorang perempuan tua yang hidup miskin di salah sebuah kampung di Yaman. Sama seperti orang lain, dia juga turut sedih dan pilu sehingga berjurai air mata.
Lantas suatu hari, dia berazam sedaya upaya untuk cuba membantu sekadar mampu. Kebetulan , 'harta' yang dia ada hanyalah seekor lembu tua, terlalu uzur, kurus dan sudah tidak bermaya. Dengan semangat tinggi dan perasaan simpati amat sangat, dia berhajat menyedekahkan lembunya itu kepada penduduk Gaza lalu berjalan kaki dari rumah pergi ke salah sebuah masjid di Yaman sambil memegang lembu tunggal kesayangannya itu.

Kebetulan hari itu Jumaat dan para jemaah sudah mengerumuni pekarangan masjid untuk melaksanakan ibadat tersebut.
Ketika itu, betapa ramai yang memerhati dan menyorot mata melihat gelagat perempuan tua nan miskin dengan lembunya yang berada di sisi luar masjid. Ada yang mengangguk, ada yang menggeleng kepala. Tanpa kecuali ada juga yang tersenyum sinis malah terpinga-pinga melihat perempuan miskin itu setia berdiri di sisi lembunya.

Masa berlalu, jemaah masjid walaupun khusyuk mendengar khutbah imam namun sesekali memerhati dua mahkhluk tuhan itu. Perempuan dan lembu itu masih di situ tanpa ada cebis rasa malu atau segan diraut wajah.
Setelah imam turun dari mimbar, solat Jumaat kemudiaannya dilakukan, biar dibakar terik mentari dan peluh menitis dan memercik di muka, perempuan dan lembu tua itu masih lagi di situ.

Sebaik selesai sahaja semua jemaah solat dan berdoa, tiba-tiba perempuan itu dengan tergesa-gesa mengheret lembu itu betul-betul di depan pintu masjid sambil menanti dengan penuh sabar tanpa mempedulikan jemaah yang keluar. Ramai juga yang tidak berganjak dan perasaan ingin tahu, apa bakal dilakukan oleh perempuan tua itu.
Tatkala keluar imam masjid, perempuan tua itu bingkas berkata :" Wahai imam, aku telah mendengar kisah sedih penduduk di Gaza. Aku seorang yang miskin tetapi aku bersimpati dan ingin membantu. Sudilah kau terima satu-satunya lembu yang aku ada untuk dibawa ke Gaza, beri kepada penduduk di sana."
Gamam seketika. Imam kaget dengan permintaan perempuan itu namun keberatan untuk menerima. Ya, bagaimana nak membawa lembu tua itu ke Gaza, soal imam itu. Keliling-kelalang para jemaah mula bercakap-cakap. Ada yang mengatakan tindakan itu tidak munasabah apatah lagi lembu itu sudah tua dan seolah-olah tiada harga.

"Tolonglah..bawalah lembu ini ke Gaza. Inilah saja yang aku ada. Aku ingin benar membantu mereka," ulang perempuan yang tidak dikenali itu. Imam tadi masih keberatan.Masing-masing jemaah berkata-kata dan berbisik antara satu sama lain. Semua tertumpu kepada perempuan dan lembu tuanya itu.
Mata perempuan tua yang miskin itu sudah mula berkaca dan berair namun tetap tidak berganjak dan terus merenung ke arah imam tersebut. Sunyi seketika suasana.

Tiba-tiba muncul seorang jemaah lalu bersuara mencetuskan idea:" Tak mengapalah, biar aku beli lembu perempuan ini dengan harga 10,000 riyal dan bawa wang itu kemudian sedekahkanlah kepada penduduk di Gaza.
Imam kemudiannya nampak setuju. Perempuan miskin yang sugul itu kemudian mengesat-ngesat air matanya yang sudah tumpah. Dia membisu namun seperti akur dengan pendapat jemaah itu.

Tiba-tiba bangkit pula seorang anak muda, memberi pandangan yang jauh lebih hebat lagi:"Apa kata kita rama-ramai buat tawaran tertinggi sambil bersedekah untuk beli lembu ini dan duit itu nanti diserahkan ke Gaza?"
Perempuan itu terkejut, termasuk imam itu juga. Rupa-rupanya cetusan anak muda ini diterima ramai. Kemudian dalam beberapa minit bidaan itu pun bermula dan ramai kalangan jemaah berebut-rebut menyedekahkan wang mereka untuk dikumpulkan.
Ada yang membida bermula dari 10,000 ke 30,000 riyal dan berlanjutan untuk seketika. Suasana pekarangan masjid di Yaman itu menjadi riuh, apabila jemaah membida 'bertubi-tubi' sambil bersedekah.

Akhirnya lembu tua, kurus dan tidak bermaya milik perempuan tua miskin itu dibeli dengan harga 500,000 riyal (sekitar RM500,000.00)!

Semua melalui bidaan para jemaah dan orang ramai yang simpati dengan penduduk Gaza termasuk niat suci perempuan miskin itu. Paling manis, setelah wang itu diserahkan kepada imam masjid itu, semua sepakat membuat keputusan sambil salah seorang jemaah bersuara kepada perempuan tua itu.

"Kami telah membida lembu kamu dan berjaya kumpulkan wang sejumlah 500,000 riyal untuk memiliki lembu itu.
"Akan tetapi kami telah sepakat, wang yang terkumpul tadi diserahkan kepada imam untuk disampaikan kepada penduduk Gaza dan lembu itu kami hadiahkan kembali kepada kamu," katanya sambil memerhatikan perempuan tua nan miskin itu kembali menitiskan air mata...gembira.

Tanpa diduga, Allah mentakdirkan segalanya, hajat perempuan miskin itu untuk membantu meringan beban penderitaan penduduk Palestin akhirnya tercapai dan dipermudahkan sehingga berjaya mengumpulkan wang yang banyak manakala dia masih lagi terus menyimpan satu-satunya 'harta' yang ada. Subhanallah.
Justeru, iktibarnya ialah segala niat murni yang baik sentiasa mendapat perhitungan dan ganjaran Allah apatah lagi ianya datang daripada hati kecil seorang yang miskin yang mahu membantu umat islam yang menderita akibat dizalimi rejim zionis israel biarpun diri serba payah dan serba kekurangan.- azm

Sekiranya anda bersimpati, sudilah hulurkan sumbangan,demi insan-insan yang sedang dizalimi di Palestin melalui Tabung Kemanusiaan Harakah di akaun BIMB: 14069010021298

(Kisah ini telah disusun semula daripada cerita Dato'Dr. Haron Din kepada Harakahdaily melalui kisah benar yang dipaparkan di sebuah majalah Arab)

Monday, February 16, 2009

Warna-Warni


Merentas Desa ?

Sejak bila pula Bandar Utama dah jadi desa? Hehe... Larian Lebuhraya sebenarnya... Merentas Desa adalah istilah dolu-dolu....

Gambar diambil 14 Februari lalu.


Thursday, February 12, 2009

Derhaka Lagi !

Apabila Hang Jebat bangun melawan Sultan Melaka itu bukan menderhaka. Hang Jebat membetulkan apa yang salah. Bendahara Melaka tidak membunuh Hang Tuah, walau pun telah dititahkan oleh Baginda Sultan. Tindakan Bendahara ini juga bukan menderhaka. Bendahara membuat pekara yang betul. Sultan Melaka yang salah.

Derhaka adalah satu konsep yang wujud dalam pembudayaan Melayu. Kita selalu mendengar Anak Derhaka. Konsep derkaha berkait rapat dengan perintah. Anak dikatakan derhaka terhadap ibu bapa jika TIDAK menurut perintah emak dan ayah.

Derhaka disini di gunakan untuk mendidik anak-anak agar mendengar cakap orang yang lebih tua. Atau nasihat dari orang yang lebih berpengalaman. Ianya adalah pagar budaya agar mereka yang lebih muda dan kurang berpengalaman tidak akan terjerumus membuat kesilapan.

Konsep pembudayaan Melayu untuk mendidik anak-anak ini telah ‘dirampas’ dan ‘dirompak’ oleh gulungan feudal Melayu untuk menerap dan memperkukuhkan kuasa feudal mereka terhadap manusia Melayu.

Sistem ekonomi feudal didalam dunia ini memiliki ciri dan pola yang sama. Sistem feudal muncul di zaman peralihan tamadun manusia, di zaman manusia mula hidup berkelompok dan berpuak-puak. Secara tersendiri dalam kelompok-kelompok ini akan lahir pemimpin, gedebe atau kepala. Mungkin kerana badannya sasa dan berani bertempur. Mungkin kerana dia memiliki bakat pimpinan. Kalau dalam budaya Melayu susuk ini pandai ilmu silat dan keilmuan batin.

Akhirnya di Kampong Hulu ada pemimpi muncul. Di Kampong Hilir ada juga gedebe kampong. Pemimpin atau gedebe ini ini diperlukan untuk memberi arah tauladan ketika bekerjasama, berseraya atau bergotong royong ke hutan mencari makanan, mencari rotan, membuat rumah beramai-ramai atau ke sawah bersama-sama. Yang menjadi kepala atau yang gedebe ini akhirnya di anggap menjadi Tok Penghulu.

Budaya ini masih dipakai lagi di kalangan Orang Asal. Pemimpin mereka di panggil Tok Batin. Tok Batin ialah Tok Penghulu untuk Orang Asal. Kalau di Negeri Sembilan mereka ini menjadi Kepala Adat atau Datuk Undang.

Apabila masyarakat mula berkembang maka kumpulan-kumpulan ini menjadi besar. Kadang kala mereka bersatu. Ada yang bersatu kerana perkahwinan. Ada yang bersatu kerana keperluan ekonomi yang memerlukan lebih ramai tenaga untuk membuka sawah atau ladang yang lebih luas. Atau mereka bersatu kerana ada musuh dari luar datang merampas tanaman, sawah padi atau anak isteri mereka.

Dari sinilah munculnya mukim, daerah, wilayah dan akhirnya menjadi negeri. Kalau kita membaca buku Sejarah Negeri Sembilan, Sejarah Perak, Sejarah Kelantan – kita akan temui pergaduhan antara wilayah-wilayah ini. Kepala Tok Batin Negeri Sembilan bergaduh dengan Tok Batin Johor. Mereka berebut harta, tanah dan kekayaan. Akhirnya gedebe Negeri Sembilan ‘derhaka’ tidak lagi mahu menurut cakap dan ‘arahan’ gedebe Johor.

Harta dan kekayaan yang di rampas dan terkumpul menjadikan gedebe, Tok Batin atau Tok Penghuu ini berupaya untuk mengupah lebih ramai orang untuk bekerja di tanah hartanya. Jika ada pula tanah yang subur akan di teroka lagi oleh orang-orang upahan. Maka harta gedebe ini semakin banyak. Akhirya dengan harta yang banyak Tok Batin, Gedebe atau Tok Penghulu ini mendirikan bala tentera untuk menawan lebih banyak lagi tanah adan harta.

Dari sinilah timbulnya konsep Raja atau Sultan. Gedebe-gebebe ini kerana memiliki harta dan tentera lalu mengakui diri mereka sebagai Raja. Untuk terus menakut-nakutkan orang kampong di buat pelbagai cerita-cerita karut bahawa Raja ini keturunan dari Atas Angin, atau dari dunia kayangan atau seperti Raja Jepun mengakui mewakili Tuhan di atas dunia ini. Semua ini karut marut.

Dalam budaya feudal Melayu ditimbulkan pula konsep tulah – ertinya tidak boleh melawan kuasa Raja. Kalau melawan akan tulah. Bila tulah rakyat biasa akan sakit dan ubatnya kadangkala di cadangkan oleh bomoh ialah meminum air basuh kaki Raja. Lihatlah bertapa lebong dan kelentongnya gedebe-gedebe yang mengakui jadi raja ini. Ini berlaku di Tanah Melayu 600 atau 500 tahun dahulu. Justeru semua ini di terima pakai oleh manusia Melayu pada ketika itu.

Apabila penjajah British datang mereka melihat Raja-Raja ini boleh dijadikan orang perantaraan atau kadangkala jadi kuda tunggangan untuk diarah ke hulu ke hilir oleh British. British menggunakan Raja Raja Melayu sebagai orang tengah untuk melembutkan hati Melayu agar manusia Melayu tidak bangun memberontak melawan penjajah.

Marilah kita sama-sama ketawa kerana Raja-Raja yang dikatakan berdaulat ini tiba-tiba hilang daulatnya bila berhadapan dengan tentera British. Daulat Raja Melayu tidak boleh memakan Mat Salleh. Tulah Raja Melayu pun tidak ‘mengeras’ kepada Mat Salleh. Tidak ada soldadu British yang jatuh sakit kerana tulah Raja Melayu.

Mat Salleh sampai kiamat pun tidak akan meminum air basuh kaki Raja Untuk mereka ini kerja orang gila. Terbukti tidak ada daulat raja disini. Daulat sebenarnya ialah soldadu dan alat tentera British yang lebih canggih dari keris dan tombak Raja Melayu. Bom dan senapang British adalah daulat dan kuasa. Terbukti daulat dan tulah ini hanyalah cerita karut marut.

Justeru, penjajah British telah memecahkan tembelang daulat Raja, keramat Raja dan segala macam cerita-cerita karut tentang Raja-Raja Melayu. Akhirnya apa yang tinggal hanyalah slogan – Orang Melayu Pantang Derhaka Terhadap Raja.

Pantang Derhaka Terhadap Raja ini di jual kepada manusia Melayu kerana hendak membodek British. Ini kerana ada Gedebe-Gedebe Melayu dan penyokong-penyokongnya telah berani bangun mengangkat senjata melawan British. Ciss, pantang Melayu derhaka pada Rajanya adalah slogan karut yang digunakan agar manusia Melayu mengikut Raja yang kini telah menjadi pengikut dan pembodek British.

Ciss, Melayu Pantang Derhaka disini bermakna Melayu jangan melawan kuasa British.

Pada hari ini tahun 2009 konsep tidak boleh derhaka terhadap Raja terbukti konsep karut. Pembudayaan Melayu telah berubah jauh dari 500 tahun dahulu. Kita sebagai manusia – Melayu, Cina, India atau sesiapa sahaja - memang di larang untuk TIDAK MENDERHAKA tetapi bukan kepada Raja. Kita sebagai manusia tidak boleh menderhaka terhadap kebenaran dan keadilan. Kita sebagai manusia tidak boleh derhaka terhadap Yang Maha Esa.

Hang Jebat tidak derhaka. Jebat telah melakukan apa yang wajib dilakukan kerana Sultan Melaka telah menjadi zalim dan memerintah mengikut kata hati. Datok Bendahara tidak mengikut titah Sultan Melaka untuk membunuh Hang Tuah kerana Bendahara sedar Sultan berada dipihak yang salah.

Yang salah tetap salah. Yang benar tetap benar. Jika Ayah yang salah maka ayah wajib di tegur. Ibu yang salah maka ibu wajib di ingatkan. Jika Adik Kecil yang betul maka Adik Kecil wajib didengari. Salah dan benar bukan kerana darjat, umur atau kerana dia Datok, Tun, Hukam , Hakim, Batang Seri atau Sultan.

Kebenaran dan keadilan bukan di monopoli oleh Raja, Sultan, Czar, Emperor atau Maharaja. Kebenaran dan keadilan adalah milik semua. Kita tidak perlu takut untuk menderhaka kalau kita menderhaka demi kebenaran dan keadilan. Malah dalam hidup ini kita diwajibkan menderhaka dan digalakan menderhaka demi kebenaran. Menderhakalah beramai-ramai jika menderhaka ini untuk kebaikan ramai.
( Tulisan asal oleh TT - www.tukartiub.blogspot.com)

Penatnya...

Awal tahun adalah masa yang amat memenatkan. Nama je cikgu keje setengah hari, tapi hari2 keluar 6.30 pagi, sampai rumah semula 6.30 petang.

Latihan sukan, mesyuarat, persatuan, kerja2 perkeranian, macam-macam... dan tak habis2...

Jadi, maafkanlah saya kalau agak lama tak update. Gitulah cikgu zaman sekarang...

Tuesday, February 10, 2009

Kurangkan Ketawa

Wasiat ke-5 Hassan al-Banna : Kurangkanlah ketawa.
(www.harakahdaily.net)

"Jangan banyak ketawa sebab hati yang selalu berkomunikasi dengan Allah (zikir) sangat tenang dan tenteram" -Hasan al-Banna.
Ada riwayat yang menunjukkan bahawa kebanyakan ketawa Rasulullah ialah dengan tersenyum, dan apabila baginda ketawa, baginda ketawa seperti embun yang dingin. Sementara itu, ada juga riwayat yang menyebutkan bahawa ketawa Rasulullah tidak menunjukkan gigi.
Bagaimanapun, semua perlakuan itu cuma sekadar mengingatkan umat Islam selaku umat pendakwah bahawa gurauan, ketawa itu cuma amalan untuk mengurangi ketegangan jiwa.
Saidina Ali k.w juga menyebutkan bahawa sesekali kita perlu bergurau untuk menyebabkan jiwa rasa terhibur. Tetapi, ini tidak bererti kita perlu berhibur secara keterlaluan.
Maka, Hasan al-Banna telah menyusun dan merintis semula faham ini dengan meletakkan suatu pesanan yang sangat berguna kepada para dai'e dan Muslimin yang beriltizam dengan agama Islam ini.
Al-Banna tidaklah sampai mengharamkan gurauan dan ketawa. Namun, beliau seperti baginda Rasulullah s.a.w dan Saidina Ali, telah menyeru dan memperbaharui seruan melalui wasiatnya supaya umat Islam ini kurangkan bergurau dan melebihkan amalan dan tindakan.
Ini kerana, gurauan dan gelak ketawa yang berlebihan boleh mamatikan hati dan fikiran daripada memikirkan nasib dan permasalahan umat Islam yang menderita akibat penjajahan yang berterusan.
Tetapi, jika kita berterusan hidup dalam ketegangan, hal ini akan menyebabkan kerungsingan, kerisauan yang akhirnya mengundang kesan kejiwaan yang parah pula.
Maka, sikap yang terbaik dalam hal ini ialah kita mewakafkan lebih banyak masa untuk memikirkan serta menyusun tindakan bagi menyelesaikan permasalahan umat Islam. Selebihnya, saki-baki waktu itu diluang untuk merehatkan jiwa, hati dan fikiran kita setelah penat bekerja dalam seharian.
Atau jika masa dan kehidupan ini boleh kita pecahkan dalam bentuk peratusan, maka bolehlah diandaikan seperti ini. Iaitu, masa dan kehidupan untuk berfikir dalam hal permasalahan umat Islam ini ialah 70 peratus, manakala baki masa 30 peratus lagi adalah untuk senda gurauan.
Bagaimanapun, peratusan ini hanyalah sebagai gambaran kepada betapa pentingnya seseorang Muslim itu hidup di atas muka bumi ini untuk memperuntukkan kebanyakan masanya ke arah hal yang lebih berfaedah. Sementara, hal gurau senda dan bergelak ketawa itu hanyalah sekadar sedikit sahaja.
Muhasabah
Maka, marilah kita sebagai Muslim yang ingin mencapai kebaikan di dunia dan di akhirat bermuhasabah mengenai kehidupan seharian kita sendiri. Dalam tempoh 24 jam, berapa banyakkah masa yang kita wakafkan untuk Islam dan Muslimin? Berapa banyakkah masa yang kita gunakan untuk kepentingan masyarakat?
Beruntunglah bagi Muslimin yang banyak meluangkan masa untuk membaca, menghadiri bengkel-bengkel ilmiah dan sebagainya lagi. Jika sebaliknya, maka tergolonglah mereka dalam kalangan mereka yang rugi.
Cabaran untuk membina sebuah masyarakat yang benar-benar memanfaatkan waktunya ke arah kebaikan sangat hebat. Dengan hiburan yang melampau-lampau dalam masyarakat kita hari ini, ditambah pula dengan kurangnya agamawan yang mahir dalam selok-belok penyiaran televisyen, rasa-rasanya agak mustahil kita lakukan semua ini.
Sekiranya lebih ramai agamawan yang mahir dalam bidang pembikinan media elektronik, maka kemungkinan besar masa-masa yang berkualiti dalam kalangan masyarakat kita akan dapat dipertingkatkan.
Sistem kehidupan bekerja yang dicipta oleh negara kita dan masyarakat antarabangsa pada hari ini ialah jumlah jam bekerja selama 8 jam (9 pagi sehingga 5 petang). Selepas tempoh bekerja, sekurang-kurangnya masyarakat kita akan berada di rumah dan meluangkan waktu bersama keluarga dengan mononton televisyen.
Namun, sayangnya acara-acara hiburan itu dikuasai oleh golongan pengkarya yang melebihkan unsur hiburan, lagho sahaja. Jika ada acara-acara tv yang bermotifkan keagamaan sekali pun, jumlahnya sangat sedikit dan terhad.
Atau, dalam erti kata lain, barangkali kita boleh misalkan begini..
Iaitu program hiburan, filem, drama, nyanyian dan lain-lainnya adalah hampir 80 peratus, dan selebihnya yang berjumlah 20 peratus lagi diperuntukkan kepada program-program yang bersifat keagamaan.
Ditinjau dari sudut ini, akan tercapaikan hasrat, wasiat dan pesanan Rasulullah s.a.w, Saidina Ali k.w dan Hasan al-Banna? Maka, terletak kepada kitalah insan Muslim yang sedar untuk mengubah semua ini supaya masyarakat kita ini akan melebihkan banyak waktunya yang berkualiti.
Iaitu, biarlah mereka lebih banyak didedahkan dengan program-program bermanfaat dan selebihnya adalah program-program yang bersifat santai sahaja.

Sunday, February 8, 2009

Kesuwon !

Sejak seminggu ni semakin ramai pelawat dari kalangan students BU3 yg datang ziarah.
Saya rasa bersemangat nak mengisi blog ni dgn isi yg lebih menarik.
Kalau ada cadangan, berilah kepada saya ( dari segi tajuk, dll). Atas sokongan pelajar2 BU3 dan rakan2 semua, ucapan KESUWON saya hulurkan..

(Kesuwon - bahasa Jawa halus yg bermaksud Terima Kasih)

Saturday, February 7, 2009

Krisis Perlembagaan di Perak

Banyak ulasan dan analisa yg saya baca berkenaan krisis perlembagaan yg sedang berlaku di Perak sekarang. Namun ulasan ini menarik perhatian saya untuk dikongsikan bersama.

Kata White Shadow ( dipetik drpd Malaysiakini.com ) :

As a learned former Lord President, His Royal Highness must be legally and technically correct to conclude that the PR state government no longer enjoys the majority support of the state assembly persons.

However, as the ruler of Perak, His Royal Highness must recognise the wishes of his people who, on March 8, 2008 had voted in 31 PR state assembly persons to form the state government through democratic means.

That, is without any doubt, the wish of the Perak people. No one person or procedure or political manoeuvre is going to deny this democratic act of the people.

Hence, His Royal Highness should take cognisance of his subjects’ wishes and do the right and noble thing - dissolve the state assembly to pave the way for fresh elections. Let the people of Perak decide again.

However, if His Royal Highness for all his wisdom allows BN to form the next state government, he must be aware of the following possibilities:

1. With such a small majority, if say, three BN assembly persons switch their allegiance to PR, is His Royal Highness going to ask PR to form the state government again?

2. If the two independent assembly persons are found guilty of the corruption charges against them, their seats will be declared vacant, thus by-elections will be called.

And we all know who will win in the by-elections. So will His Royal Highness again ask PR to form the new government?

Hence, to be seen as fair, His Royal Highness must act fairly and let his subjects decide through the democratic process by dissolving the state assembly.

Komen anda ?

Thursday, February 5, 2009

Derhaka ?

Si A berkata : Anda telah menderhaka kepada raja !

Si B menjawab : So what? Raja tu maksum macam Nabi ke? Takde silap ke? Kalau raja buat mungkar kena kena ikut juga ke? Nak dakwa? Silakan... ( ada peruntukan undang2 ke nak dakwa? )

"Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa" - Al-Hujurat : 13

Raja dan rakyat adalah manusia biasa. Dua2 makan nasi. Dua2 kentut busuk !

Di padang mahsyar nanti, raja pun akan dibogelkan macam manusia lain. Raja pun akan dihisab amalannya macam manusia lain. Takde layanan VIP di mahsyar kecuali kepada 7 golongan yang mendapat naungan Allah. Salah satunya, pemimpin yang adil. So, amacam?

Kata Laksamana Hang Jebat : "Raja adil raja disembah, raja zalim, porrrrrrah !"

Wednesday, February 4, 2009

Perak oh Perak...

Kenapa kita lebih takut menderhaka kepada manusia...
tapi tak takut menderhaka kepada Allah ?

Raja adil raja disembah, raja zalim raja DISANGGAH !

Semoga demokrasi dan keadilan akan tertegak secara bermaruah.
Ingatlah...pengadilan Allah di akhirat nanti akan menjadi pengadilan yang muktamad...

Sunday, February 1, 2009

Cuti-Cuti Malaya (2)

Keluar dari Kuala Rompin, kami terus menuju ke Mersing. Destinasi : Pulau Tioman.

Sebenarnya ada 3 cara nak ke P.Tioman. Satu, naik feri dari Tanjung Gemuk, Rompin. Ke-2, naik feri dari Mersing, Johor. Ke-3, ambik flight dari Subang. Sebab bajet ciput, kami ambik feri dari Mersing (yg lebih dekat berbanding Tg.Gemuk). Dekat pun, jaraknya 82 km, kira-kira sejam suku naik feri ekspress. Tiket dewasa RM70 pergi balik. Kanak2 RM60.


Sekitar bulan 11 hingga 2 adalah musim tengkujuh. Angin kencang dan ombak kuat. Tapi, sbb kami dah ada kat sini, redah aje lah..


Ini feri Mersing-P.Tioman. Walaupun besar, tapi laju. Aircond nya pulak kuat. Sejukkk. Saya bertahan 20 minit je, pastu terpaksa pejam mata dan tidur sbb pening dilambung ombak. Kira mabuk laut la sikit...


Air laut di Tioman biru kehijauan. Ikan2 berwarna-warni bermain2 di bawah jeti. Pasirnya halus tapi berwarna agak kekuningan. Pantainya bersih. Patut la jadi antara 10 pulau tercantik di dunia...


Di Tioman ada banyak kampung. Tapi, tiada jalan darat macam kat Pangkor atau Langkawi. Perhubungan hanya gunakan bot. Ada sekolah, hospital dan pekan kecil. Budak sekolah yg tinggal jauh terpaksa tinggal kat asrama walaupun baru berumur 7 tahun.

Bekalan air paip terawat takde. Semuanya adalah air gunung yang disalurkan ke rumah masing2. Majoriti penduduk adalah Melayu. Mostly bekerja dalam bidang berkaitan pelancongan, selain menjadi nelayan.

Kami tak sempat ronda pulau sbb cuma sehari je. Kat sini ada marine park, kawasan di mana aktiviti memancing diharamkan. Ramai mat saleh yg turun snorkelling dan scuba diving. Mesti best kat bawah laut tu kan...


Ikan gong belang, kerapu, kerisi, kembung, selar papan, pari, cencaru dan lain2. Semuanya dipancing di sekitar pulau.

Di Tioman, semua ikan adalah fresh. Takde la makan ikan mata dah merah atau perut dah lembik macam kat KL. Kalau pegi ke Kg. Genting, ada sebuah gerai ikan bakar yang ummmmppphh ! Harga pun patut. Kami try sekor ikan "Gong Belang" bakar. Memang sedap. Manis. Tuan gerai sendiri yang pancing waktu siang, jual waktu malam.

Ikan gong belang.. kuat ikan ni..kalau tarik joran...fullamak..!


Ikan gong belang bakar. RM25 seekor. Kalau di darat, harganya RM35 - RM40 seekor.

Kalau ada rezeki dapat ke Tioman lagi, saya nak ke sebelah utara pulau. Di sana lebih banyak tarikan. Kalau nak ke sini, pastikan ada cash yang cukup. Kad kredit tak diterima. Harga makanan dan barang2 mahal sikit la berbanding di darat, maklum lah...pulau. Kira standard la kat mana2 pulau pun. Masa terbaik nak ke Tioman ialah antara April sampai September. Waktu tu angin dan ombak tenang. Kalau takut mabuk laut, beli la pil mabuk laut kat farmasi.


Insya Allah, lain kali kita datang lagi...