Thursday, May 20, 2010

Sekali Menjadi Guru, Selamanya Adalah Guru...


Oleh: Riduan Mohamad Nor

“Selamat Hari Guru….jasamu tetap dikenang seumur hidup”.” Selamat menyambut hari guru, terimakasih kerana pernah menabur ilmu untuk kami”.

Inilah puluhan mesej yang saya terima hari ini dan mungkin ratusan untuk minggu ini, sempena Hari Guru, 16 Mei. Malangnya, tanpa hadiah kecil dan kuntuman bunga segar diatas meja .

Ada rasa hiba yang menerkam ruang sempit dada, malah mesej ringkas yang diterima menyeruak kembali pengalaman menjadi pendidik selama belasan tahun di Lembah Kelang ini.

Sayangnya ramai bekas anak-anak murid saya tidak tahu saya telah melepaskan jawatan secara rasmi sebagai guru, namun sekali kita menjadi guru, seumur hidup kita adalah guru.

Saya melepaskan jawatan untuk memberikan lebih perhatian kepada kerja amal Islami yang telah saya telusuri hampir dua dekad ini.

Hasan al Banna, Sheikh Ahmad Yasin, Said Ramadhan, Pak Natsir, HAMKA, Khalid Mas’al, Saed Siyyam, Said Hawwa, Dr Zulkifli Muhammad, Dr Burhanuddin , Ustaz Fadhil Noor dan ribuan yang lain aktivis Islam ialah para guru yang mendidik dan membina manusia. Mereka semua melepaskan jawatan demi dakwah dan perjuangan Islam.

“Saya akan terus mendidik selagi mana ada nafas, tetapi untuk masyarakat umum, pelbagai lapisan, jika rindu pada sekolah, masuk ke sekolah untuk program motivasi” janji saya pada kak Aminah sebelum melangkah girang, keluar daripada pagar sekolah.

Melepaskan seribu bebanan tugas rutin yang menambat potensi diri untuk mara sebagai aktivis. Menghela nafas merdeka dengan segudang pengalaman sebagai pendidik muda sekaligus aktivis dakwah.

Kepada teman-teman pendidik yang masih akrab dengan buku rekod, papan putih, kursus dalaman , folio pelajar, teruskan jihad kalian untuk memberikan pencerahan kepada generasi muda kerana ditangan mereka terletak masa depan Islam yang gemilang.

Saya diserbu kenangan yang menggamit perasaan yang bercampur , malah dihempap dengan segunung rasa bersalah apabila mengenangkan kembali masa silam terutama tahun-tahun awal sebagai pendidik.

Ya, seorang anak muda yang sarat dengan idealisme, yang melihat dunia dengan dikotomi hitam putih, iman dan kufur, Islam dan jahiliah.

1998: Goh : Remaja Hilang Bentuk, Melakar Masa Depan Niaga

“ Kamu ikut saya ke surau!” jerkah saya pada seorang pelajar Cina yang bernama Goh, mata saya melotot merah saga. “ kamu degil, kepala batu, ini semua sebab gemar makan bab……” hina saya pada Goh, tanpa berbasa basi.

Sebelum itu Goh dikurung dibawah meja saya didalam bilik guru lelaki. "Lokap ustaz Wan” gelar guru lelaki, tidak ada yang membantah dengan jeriji kecil impian saya di VI itu.

Sekolah yang juga bekas markas Jepun itu sangat sinonim dengan tradisi penderaan dan pemerkosaan hak.

Goh ketakutan seperti anak anjing yang tersimbah air longkang. Sinar matanya mendatar, egonya diluluhlantak dengan jerkahan keras saya, diringi hayunan kaki dan tangan.

Saya pula kepuasan seperti baru membentes kaki pesaing dalam acara tomoi sedunia dan melepaskan siku kencang ke muka pesaing. Pesaing pula berkubang darah, menggeletak kesakitan.

Dia, remaja yang polos, suka bercakap lepas , selekeh ala bohemian, tajam kata-kata pada sang guru. “dia belum kenal aku” raung saya dalam hati menyombong, anak Besut yang sesat di Kuala Lumpur, Bandar metpolis yang angkuh ini. Sebelum dikurung , Goh dibelasah ‘lembik’ seperti kain buruk, semua guru diam, tidak membantah dan tidak juga menyokong.

Goh terkenal sebagai ‘taiko’ muda di sekolah dengan jaringan yang meluas didalam dan luar sekolah .Goh gambaran tipikal remaja Lembah Kelang yang teruja dengan gaya hidup samseng Hong Kong yang disensasikan dilayar perak, generasi ‘young and furious’, dadah, bertetak, menebar pesona untuk mengangkangi gadis-gadis genit yang menyihir mata.

“Kamu tengok saya sembahyang, mengapa kamu tidak minat kepada Islam , Islam agama yang baik untuk kamu” ujar saya pada Goh dengan muka yang cemberut.

Goh hidup tanpa tuhan, anak remaja ini merayakan kehidupannya , seranggi mungkin, bebas bagai kelkatu mengintai kerdipan neon malam yang mempersona.

Goh menapak longlai ke Surau, dihujung bangunan sekolah berwajah kolonial, lusuh tapi elegan. Surau itu sebenarnya ‘pot’ saya, tempat melepas lelah setelah penat dengan aktiviti politik diluar sekolah, berlanglang buana ke seluruh negara untuk meruntuhkan hegemoni daulah.

Dengan dua bilik yang selesa untuk mengambil tenaga yang terkuras.Saya menyimpan rapi kuncinya, dengan sejadah lusuh sebagai bantal yang paling mendamaikan mimpi –mimpi rusuh aktivis politik oposisi.

Saya dan pelajar muslim solat zuhor berjemaah. Rutin kami jika saya tidak berkuliah zuhor di Lembah Kelang. Goh seperti taukeh getah kalah judi duduk terperuk dihujung pintu surau.
Terjelepuk sambil membilang jari, matanya terus meliar ke arah kami yang berzikir sebelum berdoa. Mata saya tidak terlepas memandang Goh, sesekali dia menguap kemalasan. Hati saya jengkel bercampur kasihan.

“ Ustaz, nanti besar saya mahu masuk Islam, boleh ke?” kata Goh bergetar. Saya merenung jauh kedalam mata sepet goh, seperti angin berlalu, saya tidak melihat ada kesungguhan melainkan untuk mencairkan hati saya, menjinakkan bongkah kemarahan.

“Boleh, nanti kamu belajar dengan kawan-kawan Melayu tentang Islam” jawab saya malas. Goh berkawan rapat dengan budak-budak Melayu, pengaruhnya besar terhadap pelajar menengah rendah.

Beliau pandai memposisikan diri sebagai kesatria barisan hadapan, jika ada acara kecoh bertumbuk maka dialah paling kehadapan.” Dah , pergi balik” herdik saya pada Goh, tergesa-gesa Goh menghilangkan diri, seperti keretapi ekspres malam.

Dia menciut dibelakang pelajar muslim lain. Pelajaran moral hari itu ialah jangan permainkan guru, Goh mendapat pengajaran yang membekas tajam, mungkin untuk seumur hidup. Itu pun , jika beliau tidak pernah diinterogasi pihak polis atas kesalahan jenayah berat.

“Mengapa ustaz mengamuk tadi, Goh buat apa?, memang budak tu selalu cari pasal” tanya Cikgu Zuraidi , anak muda kelahiran negeri ‘cik siti wan kembang’ itu menjaring soalan, menebak punca kekecohan di sekolah hari itu.

Dia guru penyokong tegar reformasi, setia di jalanan di hujung minggu. Sudah kalih dihambat aparat keamanan bertopi merah di Jalan Tunku Abdul rahman.

“Tak, budak itu , mengembek macam kambing kat hujung kelas, nak perli janggut ana la tu, kurang ajar sekali” jawab saya malas.

Bersusun kesalahan Goh sebenarnya jika nak disenaraikan, dia pesalah konsisten undang-undang sekolah.

Mempunyai bakat terpendam dalam menyusun makar paling sarkastik, terbit dari sisi gelap otaknya yang sentiasa merancang. Nanar sekali demi mencuri perhatian warga sekolah.

GOH menjelma kembali

Beberapa tahun selepas menamatkan alam persekolahan, Goh datang menziarahi saya kembali, penampilannya jauh berbeda. Dengan kereta bergengsi dan pakaian yang rapi , anak muda ini berjaya dalam perniagaannya yang pelbagai.

Perkataan yang keluar daripada mulutnya disusun rapi, santun dan bervisi. Goh sentiasa bertanyakan khabar saya pada guru yang lain, jika melawat sekolah.

Saya terharu, rasa tertampar dengan sikap ego dan mazmumah yang menggebu terhadap Goh.Saya gagal sebagai guru muslim untuk seorang pelajar Cina yang luarbiasa nakalnya. Kepongahan tidak membantu dalam berdakwah dan menarik manusia.

Pelajaran moral yang pertama ialah, jangan memandang rendah pelajar kita, apa pun kesalahn dan latar sosial mereka, semua manusia ada potensi untuk berubah dan berjaya dalam hidup.

Hari ini setelah berbelas tahun , saya sangat merindui sosok remaja seperti Goh. Beliau mengajar saya erti guru yang penyabar dan mendepangkan dada serta telinga untuk mendengar.

Kalaulah Goh hari ini menjadi salah seorang anak murid saya di kelas PERKIM setiap Ahad, saya akan tekun mendidiknya untuk menjadi kader dakwah, sayang kerana saya melepaskan peluang itu belasan tahun yang lalu.

Tololnya saya pada masa itu, tanpa hikmah dunia ini kehilangan sinarnya yang indah meranum.

“Selamat Hari Guru” kepada semua pendidik, saya merindui dunia keguruan, merindui barisan anak murid yang tenang ingin menyerap ilmu. Kalaulah masa boleh diundur, saya tidak akan berdiri sebagai guru yang pongah dan melulu.

**Penulis adalah Exco Dewan Pemuda Pas Pusat, Pendakwah dan Perunding Motivasi

Sunday, May 16, 2010

Doa Hari Guru 2010

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ , وَالعَاقِبَة لِلْمُتَّقِيْنَ وَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ

Ya Allah , Tuhan Yang Maha Pengasih ,
Kami merafakkan rasa kesyukuran kepada-Mu kerana mengizinkan kami untuk meraikan Majlis Sambutan Hari Guru Tahun 2010 peringkat SMK Bandar Utama Damansara 3 pada pagi yang berbahagia ini dengan tema :
“Guru Pembina Negara Bangsa ”

Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengampun,
Kirimkanlah doa kesejahteraan kami buat guru-guru kami yang telah terdahulu menemui Ilahi. Sejahterakan dan bahagiakanlah mereka di alam sana. Mereka telah berjasa membebaskan kami daripada kejahilan. Kini, izinkan kami meneruskan usaha mereka membawa ummah daripada kegelapan jahilyyah, kepada cahaya ilmu dan kebenaran.

Ya Allah , Ya ‘Azizi Ya Sattar Ya Fa’alullima yurid ,
Sesungguhnya, tugas sebagai guru adalah tugas yang mulia dan murni sepanjang zaman. Justeru, kurniakanlah kepada guru-guru kami hati yang ikhlas dalam menyempurnakan tanggungjawab yang berat ini dengan sebaiknya . Lorongkanlah hati guru-guru kami agar menjadikan seluruh aktiviti dunia pendidikan sebagai ibadah mengharapkan rahmat dan keredhaan-Mu semata-mata.

Ya Allah , Ya Mudabbiral amri ,
Pada saat dan detik ini, kami hulurkan tangan pengharapan , memohon ihsan dan pimpinan-Mu agar Engkau anugerahkan rasa kasih sayang kepada barisan pendidik yang budiman terhadap anak-anak didik mereka, sebagaimana mereka mengasihi dan menyayangi anak- anak mereka sendiri. Kurniakanlah kepada mereka kesabaran, ketabahan, semangat kerjasama yang tinggi dalam sebuah pasukan, semangat permuafakatan dan semangat juang yang tidak mengenal erti putus asa dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang pendidik. Izinkanlah mereka menyumbang tenaga , idea dan kepakaran demi meningkatkan kualiti akademik dan kokurikulum pelajar-pelajar sekolah ini khasnya dan di arena pendidikan perdana amnya .

Ya Allah , Ya Mukawwiral laili wan nahar,
Pada kesempatan ini , kami mohon kepada kebesaran dan kehebatan-Mu ya Allah, sudilah kiranya Engkau kurniakan ke dalam hati anak-anak didik kami sifat yang mulia dan akhlak yang luhur. Lenturkanlah jiwa mereka agar sentiasa menghormati guru, mendengar tunjuk ajar, mematuhi teguran dan menerima bimbingan guru. Semoga kelak mereka akan menjadi insan berilmu yang beradab, dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara tercinta .

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ جَمْعَنَا هَذَا جَمْعًا مَرْحُوْمًا ، وَتَفَرُّقَـَنَا مِنْ بَعْدِهِ تَفَرُّقاً مَعْصُوْمًا
رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَة ً وَفِي الأخِرَةِ حَسَنَة ًوَقِنَا عَذَابَ النَّار ِ
وَصَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ ، وَالْحَمْدُلِلَّهِ رَبِّ العَالَمِيْنََ

Monday, May 10, 2010

Celarunya masyarakat kita !

Celaru sungguh pemahaman masyarakat Islam kita...
Pantang nampak benda pelik sikit, katanya itu tanda kebesaran Allah..

Sedangkan bukti kebesaran, keagungan, kehebatan Allah yang setiap masa terpampang setiap hari di depan mata, tak nampak pula!
Al-Quran tu bukti jelas kebesaran Allah, tak dipedulikan.. Ayat2 nya tak dibaca, hukumnya pula lagilah tak diamalkannya..


Tapi apabila jumpa ayat di longkang yang kebetulan cuma, dijajanya merata-rata!

Sungguh... sungguhlah celaru masyarakat kita..

Friday, May 7, 2010

Pendidikan Islam penawar masalah sosial


KUALA LUMPUR, 28 April: “Setuju mata pelajaran pendidikan seks tidak diajar di sekolah sebagai pendidikan khas,” kata Presiden Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (PMAPIUM), Mohd Syahid Mohd Zaini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi kelmarin mengenai keputusan Kementerian Pelajaran untuk tidak melaksanakan pendidikan seks di sekolah.

Namun menurut beliau lagi yang juga Exco MPMUM Sesi 2009/2010, apa yang dikesalkan, silibus Pengajian Islam di sekolah-sekolah masih tidak mampu untuk memahirkan pelajar perkara yang berkaitan dengan rukun Islam seperti solat, zakat, puasa, haji serta amalan lain seperti membaca al Quran, menutup aurat dan lain-lain lagi.

Katanya, hanya penerapan ajaran dan pendidikan Islam secara komprehensif dalam sistem pendidikan di sekolah mampu membendung gejala maksiat dan zina.

“Jadi penyelesaian paling 'mujarab' untuk membendung gejala sosial adalah menumpukan Pendidikan Islam, bukannya melalui pendidikan seks. Ajaran Islam patut diutamakan dalam setiap aspek,” ujarnya.

Bendahari PMAPIUM, Muhammad Rusydan Muhammad Ruslan pula berkata, subjek khas pendidikan seks tidak mampu menyelesaikan masalah gejala sosial yang berlaku khususnya masalah zina, maksiat, rogol dan pembuangan bayi.

“Pendidikan seks hanya mengenalkan remaja tentang persoalan seks dan masalahnya sahaja tetapi tidak dapat memahamkan persoalan hukum berkaitan dengan seks. Kita mengetahui remaja pada hari ini sangat jahil terhadap agama,” katanya.

Katanya, kebanyakan kes yang berlaku seperti zina dan pergaulan bebas adalah berpunca dari kejahilan mereka terhadap agama seperti hukum halal dan haram.

“Remaja sekarang menganggap persoalan aurat dan pergaulan bebas adalah perkara remeh dan tidak penting,” ujarnya.

Nur Dalilah Mokhtar turut bersetuju dengan kementerian supaya tidak melaksanakannya.

“Ini disebabkan, sudah tentu acuan kita tidak sama dengan acuan sekular Barat kerana sistem nilai kita yang berbeza.

“Pendidikan seks dalam konteks masyarakat kita, khususnya umat Islam wajib bertunjangkan sistem nilai, moraliti dan akhlak Islam. Ini meliputi kandungan, kaedah pengajaran dan matlamat pendidikan itu,” katanya.

Baginya, yang pasti teknik pengajaran serta intipati pembelajaran untuk memberi panduan safe sex adalah berbeza dengan matlamat untuk melahirkan insan yang soleh dan seimbang.

*Dipetik daripada www.harakahdaily.net