Monday, August 10, 2009

Cerita kegigihan, kisah kecekalan Cikgu Laila

Kezaliman ISA sebenarnya tidak perlu diceritakan lagi. Ia bukan sekadar kisah tahanan borong tanpa bicara, tidak hanya gumpalan hikayat lama tentang penyeksaan zahir batin.

Ia turut mampu memisahkan suami dengan isteri, ayah dan putera-puterinya, juga anak dari ibu Imagebapa. Ada keluarga berantakan, cerai-berai dek racun berbisa penahanan tanpa bicara yang perlu terus dikutuk dan ditentang ini.

Ada anak jatuh nazak secara tiba-tiba, seperti kes Aina Mardhiah Shahrial, 17, setahun lalu, dan si ayah, tahanan ISA tujuh tahun, sengaja dilewat-lewatkan kepulangannya. Shahrial hanya sempat menatap wajah jernih jasad kaku puteri sulungnya tanpa sebarang salam perpisahan.

Melakar kisah duka

Dan hening pagi Rabu, 27 Mei lalu, ISA sekali lagi melakar kisah duka. Tahanan ISA sejak dikurung 18 April 2002, Mat Sah Mohd Satray, 46 tahun, kehilangan bonda tercinta, Saoda Abdul.


ISA yang menjarakkan mereka sejak 2,600 hari lalu rupanya bertindak lebih kejam apabila menghalang Mat Sah untuk bersama ibu di waktu tua, sakit dan saat-saat yang amat memerlukan kehadirannya.

Saoda, 71, sebelum itu selama tiga minggu terlantar di HUKM. Selain kencing manis, dia menderita sakit jantung dan kegagalan buah pinggang. Dua hari sebelum Saoda meninggal, Mat Sah, anak ketujuh daripada 12 adik beradik dibenarkan pulang ziarah oleh pihak Kem Kamunting, dengan kawalan keselamatan peringkat tinggi. Hanya sejam Mat Sah dibenarkan menyantuni ibu tersayang.

Walaupun terbaring lemah, Saoda bingkas bangun bila mengetahui Mat Sah balik. Tampak segar sekali. Saoda minta duduk di sebelah dan makan bersama Mat Sah yang begitu sabar menyuapkan makanan ke mulutnya. Mata yang memerhati cukup terharu. Kasih ibu tiada penghujungnya, tulus dan kudus.


Dan itulah pertemuan terakhir mereka. Bayangkan, ketika episod tujuh tahun malam memanjang gelap gelita buat Mat Sah dan keluarganya masih tamat, beliau kehilangan ibu dalam suasana tragis.

Norlaila penggerak kempen mansuh ISA

Mungkin tidak ramai yang biasa dengan nama Mat Sah, tetapi jika disebut isterinya, Norlaila Othman, penggerak kempen mansuhkan ISA di medan depan, saya yakin hampir semuamengenali wanita berhati waja dan berjiwa kental itu.


Dia bukan sekadar berusaha keras membebaskan suami, tetapi padu tekadnya bagi membangkitkan kesedaran rakyat di segenap pelosok negara untuk merobek paksi-paksi kezaliman itu.

Ternyata Cikgu Laila merupakan ikon baru, simbol penentangan secara terbuka ke atas ISA yang ganas dan tidak berperikemanusiaan. Walaupun dimaklum kepada polis Cawangan Khas (SB) sejak subuh tentang kematian Saoda, Mat Sah hanya tiba jam 3.15 petang, 45 minit selepas jenazah ibu disembahyangkan. Dan beliau tetap dikawal bagai seorang penjenayah paling berbahaya ketika menziarahi jasad kaku ibunya!

Laila dalam blognya, lailagmi.blogspot, mencatatkan: "Ketika Abah (Mat Sah) menjejakkan kaki ke ruang tamu di mana jenazah nenek (Saoda) diletakkan, suasana senyap seketika. Semua memberi ruang untuk Abah mendekati nenek yang ditutupi kain batik hijau.

"Abah duduk berteleku di sebelah jenazah, perlahan-lahan tunduk dan mencium pipi sejuk nenek. Abah mencium pipi kiri dan kanan, itulah ciuman terakhir Abah untuk nenek. Kuperhatikan Abah agak lama melekapkan hidungnya di pipi itu.

"Mungkin Abah tidak pernah terfikir, penahanan ISA akan menyebabkannya dan ibu kandung kesayangan terus menerus terpisah hingga ke akhir nyawa. Terlalu zalim ISA ini."

Tidak sempat bersalam

Abah tidak lama berada di sisi jenazah nenek. Sebaik mayat dimasukkan ke dalam keranda untuk dibawa ke kereta jenazah, sepantas kilat, sekumpulan polis berpakaian biasa mengepung Abah untuk dibawa ke dalam kenderaan khas dan terus bertolak ke tanah perkuburan di Segambut.

'Aku sendiri tidak sempat untuk bersalam ataupun bertanya khabar. Abah begitu cepat hilang dari pandangan."

Seterusnya Laila mencatatkan: "Aku memandu sendiri ditemani Suhaib (anak)ke Segambut. Abah lama tiba di sana dan dibenarkan keluar dari van untuk membantu pengkebumian itu. Semua polis brpakaian biasa turut berada di sekitar lahad.

Sebaik siap siraman air mawar terakhir, Abah diberi masa beberapa minit bersalaman dengan adik-beradik dan saudara-mara, termasuk aku dan Suhaib. Aku tidak sempat bercakap dengan Abah. Aku hanya sempat mencium tangannya.

"Pegangan itu terlepas dan bila kepala kuangkat, Abah berada beberapa meter jaraknya dariku, berjalan pantas di kerumuni sekumpulan lelaki menuju sebuah van bercermin hitam pekat yang diparkir betul-betul di hadapan kawasan perkuburan.

"Selepas itu, aku tidak tahu di mana Abah dibawa pergi, bermalam di salah satu balai polis di Kuala Lumpur, atau terus dibawa pulang ke Kamunting."

Kepiluan yang menghiris

Bagi Laila pastinya kepedihan dan kepiluan yang menghiris itu sudah sebati dengannya. Tujuh tahun menanggung derita tidak pernah mematahkan semangatnya untuk tetap bersuara.

SB cukup mengerti komitmen tingginya itu hinggakan ramai beranggapan Mat Sah sukar dibebaskan selagi Laila aktif berkempen mendedahkan kebusukan dan kehodohan ISA.

Malah ketika Laila sibuk menelefon pihak polis untuk mengetahui di mana suaminya berada selepas hilang dari kawasan perkuburan, panggilannya langsung tidak dijawab.

Ia seperti mahu memanjangkan lagi deraan yang sudah cukup lama itu. Tidak cukup dengan tulisannya dalam blog, Laila giat rencana dan menghadiri program menentang ISA.

Sepanjang berurusan dengannya, termasuk ketika mengagihkan sumbangan pembaca Harakah kepada keluarga tahanan ISA, saya sering kali terlupa bahawa Laila juga sebahagian dari mereka yang teraniaya.

Laila lebih banyak bercerita tentang kesengsaraan orang lain, mengatur ziarah ke seluruh Semenanjung, juga hingga ke Sandakan dan Tawau, dan dirinya sendiri bagai terabai ....

No comments: