Oleh : Zaharuddin Abd Rahman
( www.zaharuddin.net )
Kerap kali saya mendengar, membaca dan melihat tulisan yang mengelirukan berkenaan hukuman murtad. Saya pernah menulis sebuah artikel berkenaannya di web ini, namun mungkin akibat artikel itu bersifat ilmiah, dipenuhi dalil dan istilah-istilah arab, menyebabkan kurang ramai yang berminat atau mampu untuk memahaminya. Khususnya di kalangan pembaca awam atau layman.
Sekarang, timbul lagi persoalan seperti berikut :-
"Adakah Islam ini seperti MAFIA dan ahli kongsi gelap yang mana sekali orang telah memasukinya, ia tidak boleh keluar sama sekali. Hanya boleh keluar dalam keadaan mati ?"
Mereka berkata lagi:
" One would not realise the truth till one has dwell deeply into it and could not escape alive! As joining a mafia or Islam?"
Sudah tentu ada yang berkata demikian dengan niat jahat dan prejudis, namun tidak dinafikan ada juga yang termakan dengan persoalan itu lalu ingin mencari jawapan secara ikhlas atau sincere.
Mereka memerlukan jawapan logik ringkas serta mudah, tanpa istilah arab, nama kitab dan dalil panjang lebar. Mungkin terdapat sebahagian ulama yang telah menulis berkenaannya dengan logic, ringkas lagi mudah, namun tidak sampai ke pengetahuan kita. Jika ada sekalipun, teknik menjawab perlu dikemaskini dan diupdate sesuai dengan minda dan aqal manusia di zaman ini.
Jadi, bagaimana jawapan yang sesuai untuk diberikan kepada mereka? Menerusi tulisan ini, saya cuba untuk menyediakan sedikit panduan jawapan. Namun amat dialukan buah fikiran para ilmuan Syariah yang lain untuk menokok tambah bagi melahirkan sebuah respon terbaik buat yang bertanya. Semoga nanti, semua ilmuan yang belum berfikir mendalam tentangnya dapat memanfaatkan panduan jawapan kita ini.
POKOK PERSOALAN
Pertamanya, tentu umat Islam tidak bersetuju sama sekali untuk disamakan Islam dengan kumpulan MAFIA, sebuah kumpulan penjenayah dan kongsi gelap, malah seluruh pergerakannya juga dipenuhi rahsia. Maklumat berkaitan Islam tidak sama sekali rahsia. Justeru, perbandingan itu amat tidak adil, bersifat penghinaan dan amat tidak tepat kerana Islam bukan sebuah kumpulan penjahat dan pembunuh seperti kedua-dua kumpulan itu. Islam adalah sebuah agama yang suci, amat menyeru kepada kebaikan dan kemakmuran berteraskan panduan Pencipta alam semesta. Namun itu bukanlah yang ingin dibaca oleh yang bertanya dan bukan pula isu yang ingin saya ulaskan di sini, mungkin lain kali.
Keduanya, isu utama dalam pertanyaan atau pertikaian pada hemat saya ada dua iaitu :
* Masuk Islam dan tidak boleh keluar
* Nak faham sesuatu serta merasai kebenarannya dengan perinci, perlu masuk atau sertai dahulu, hanya selepas itu baru boleh mendapat keputusan, sama ada ia benar atau tidak. Tapi dalam hal Islam, tiada ruang itu kerana sekali masuk, tidak boleh keluar sama sekali, kecuali MATI.
NAK KAJI ISLAM KENA MASUK DULUKAH?
Saya ingin bertanya kembali terlebih dahulu, adakah kebenaran dan perincian berkenaan Islam sememangnya tidak boleh dikaji KECUALI setelah masuk Islam?
Jawapan ringkas saya : TIDAK !
Sesuatu kebenaran sebenarnya, khususnya kebenaran Islam masih boleh dikaji daripada luar dan dalamnya tanpa perlu menyertainya terlebih dahulu. Apa yang perlu adalah kajian berdisplin, keinginan mengkaji dan keikhlasan mendapatkan kebenaran.
Apa yang perlu dan mesti dikaji adalah fakta-fakta Islam yang sohih dan bukan melihat gelagat penganutnya serta menganggapnya sebagai sebahagian dari Islam. Kelemahan penganut tidak boleh sama sekali dibebankan ke atas sistem dan ajaran Islam.
Semua maklumat berkenaan Islam boleh didapati dengan mudah dari dua sumber asal Islam iaitu al-Quran dan Al-Hadis, jika sekiarnya terdapat kekeliruan untuk bermula dari mana, itu adalah masalah metodolgi si pengkaji dan bukan sesuatu yang timbul dari Islam.
Lihat sahaja berapa ramai professor dan sarjana barat yang mengkaji Islam, malah berkemungkinan jauh lebih hebat ilmu Islam berbanding umat Islam, seperti Prof. John L. Esposito dengan bukunya bertajuk "Islam, The Straight Path", Karen Armstrong dengan bukunya "Islam, a Short History", dan ‘Muhammad: Prophet for Our Time (Eminent Lives) dan ‘Muhammad: A Biography of the Prophet' dan ramai lagi penulis dan pengkaji termasuk sebahagiannya telah memeluk Islam seperti Dr. Gary Miller dan lain-lain.
Cuma adalah kurang tepat mengkaji Islam dari hasil penulisan sarjana bukan Islam semata-mata. Rujuklah buku dan rujukan yang ditulis oleh para sarjana Islam juga, kebanyakannya telah diterjemah ke bahasa Inggeris atau Melayu, Kesimpulannya, bagi orang bukan Islam, intipati dan kebenaran ajaran Islam amat boleh dikaji dari luar. Tiada benar alasan perlu untuk masuk terlebih dahulu.
Malah, jika inginkan lebih feel dalam setiap kajian khususnya melibatkan hal ehwal ibadah seperti ingin mengkaji serta melihat cara solat yang sebenar, selain dipelajari dari buku, pengkaji juga boleh melihat sendiri bagaimana tatacara dan displin solat masjid atau surau. Namun jangan pelik jika mendapati perbezaan fakta buku dengan amalan harian umat Islam, kerana terlalu amat ramai orang Islam yang dilahirkan sebagai Islam tanpa ilmu, menyebabkan ibadah mereka turut dikerjakan tanpa ilmu yang tepat. Mereka ini kerap menjadi penghalang kepada kesucian dan kebenaran Islam. Moga dijauhi Allah SWT.
Jika ingin mengkaji ibadah puasa, si pengkaji boleh cuba menahan diri dari lapar dan dahaga serta mengawal mulut dan mata dari sebarang kejahatan. Untuk mengkaji berkenaan ibadah Haji, tontonlah rancangan dokumentari lengkap National Geographic. Namun, kegagalan untuk pergi merasai sendiri ibadah haji bukanlah satu alasan masih belum dapat menyelami kebenaran Islam kerana ibadah Haji hanyalah satu kewajiban ke atas mereka yang berkemampuan. Ini bermakna masih ramai orang Islam tidak mengerjakan haji kerana kurang mampu, dan mereka masih tetap terus Islam.
MASUK DAN TIDAK BOLEH KELUAR ?
Isu pokok kedua adalah seperti di atas. Adakah benar dan apa alasan jika ia benar?
Sekali lagi diingatkan, saya tidak akan menyatakan apa-apa rujukan, dalil dan pendapat sarjana Islam dalam tulisan ini bagi mengelakkan sebarang redundansi. Walaupun begitu, sebahagian isi tulisan ini adalah hasil kesimpulan para sarjana Islam juga, manakala sebahagian yang lain adalah isu khilaf di kalangan ulama.
Maka dengan itu, berikut adalah ulasan dan kesimpulan ringkas saya:-
Sebagai pendahuluan, ibaratkan anda sedang ingin membuat keputusan untuk menjalankan sebuah bisnes atau menetap di luar negara, anda sedang memilih beberapa buah negara yang sesuai. Anda sememangnya bebas untuk memilih, namun sejurus anda memilih dan telah menetap di sesebuah negara, anda TERPAKSA sama ada suka atau tidak untuk tunduk dan patuh kepada undang-undang di negara tersebut.
Itu asas pertama yang perlu difahami, jika keadaan seperti di atas dirasakan logik dan boleh diterima oleh minda dan aqal sihat, sepatutnya boleh juga menerima undang-undang Islam yang dikenakan ke atas penagnutnya, Islam ada undang-undangnya yang khusus buat mereka. Sebahagian dari undang-undang ini adalah MELARANG PENGANUTNYA UNTUK KELUAR MASUK Islam sewenang-wenangnya. Persoalan adakah mesti dibunuh jika keluar? baca selanjutnya tulisan ini untuk mengetahui.
Islam sememangnya tidak memaksa sesiapa untuk masuk ke dalamnya, ia perlu dibuat secara sukarela dan kefahaman sendiri. Namun sejurus ia telah masuk ke dalam Islam, semua kewajiban SELAKU UMAT ISLAM, MESTI dilakukan tanpa culas. Jika culas, sebahagiannya membawa dosa di antara si pelaku dosa dengan Allah swt, pembalasannya adalah di akhirat. Sebahagian jenis dosa yang melibatkan manusia lain seperti membunuh, merompak, menyeksa, berzina dan lain-lain, hukumannya ada diperuntukan di dunia juga, tetapi ia hanya akan dijalankan setelah proses penghakiman yang adil dijalankan.
Nah, sekarang apa pula ulasan untuk tidak boleh keluar dari Islam setelah masuk ? . Ini dia :-
1. Hal Agama Bukan Perkara Kecil
Larangan Islam untuk penganutnya keluar dari Islam memberikan indikasi kepada semua yang ingin menukar agamanya menganuti Islam bahawa sebarang keputusan di dalam bab agama bukanlah satu keputusan kecil seperti pembelian kereta dan rumah atau lain-lain barangan komoditi. Ia melibatkan satu hal yang amat penting.
Ini adalah nota awal yang ingin diberikan kepada mereka yang ingin menganut Islam, jika mesej ini difahami oleh orang bukan Islam, tatkala itu mesej dikira sudah sampai tetapi terdapat perinciannya dan ia bukan hanya satu fakta ringkas sebegitu sahaja.
Oleh itu, jika ada sesiapa yang menganggap agama sebagai candu, permainan, barang murah seperti baju yang tidak perlukan fokus berlebihan semasa memilih, mereka dinasihatkan agar berfikir panjang sebelum memasuki Islam. Itulah satu jenis pembelajaran Islam kepada seluruh bakal penganutnya hatta sebelum mereka menjadi Islam. Dengan demikian, kuranglah para ‘penganut agama secara main-main' yang berani untuk keluar masuk ke dalam agama Islam. Semua orang mungkin boleh sesuka hati keluar dan masuk Kristian, Hindu, Budhha tetapi mereka tidak boleh berbuat demikian dengan Islam. Dengan undang-undang ini, Islam lebih terjaga.
2. Sifat Islam Sebagai Agama Atas Asas Ilmu
Oleh kerana Islam adalah sebuah cara hidup atau agama yang amat mementingkan ilmu. Islam mengarahkan semua individu yang ingin mendekati atau menganuti Islam agar mendekatinya dengan ilmu dan kefahaman yang jitu, bukan dengan emosi dan kehendak semata-mata. Perlu dibezakan pemilihan agama dengan pemilihan sesuatu yang lain. Justeru keputusan memasukinya adalah beserta tanggngjawab kefahaman yang jitu tentang Islam itu sendiri.
3. Menjaga Kesucian Dari Digugat
Kewujudan undang-undang larangan keluar Islam (murtad) juga amat relevan jika dilihat dari sudut logik demi survival dan kesucian sebagai sebuah agama. Dengan itu ia akan mengelakkan perancangan licik man-mana gerakan musuh Islam, yang merancang untuk menganut Islam dan kemudiannya keluar beramai-ramai dengan niat mencemar imej Islam.
Sebagai contoh logik, lihat apa yang dilakukan oleh George Soros kepada matawang Malaysia, dia membeli matawang Malaysia sebanyak-banyaknya dan kemudian menjualnya sekaligus, menyebabkan nilai matawang Malaysia jatuh teruk serta tergugat. Benar, agama tidak seperti matawang tetapi sesebuah agama yang boleh keluar masuk dengan mudah, tanpa displin dan undang-undang adalah bukan sebuah agama yang bernilai.
4. Kaunseling Proses Penting
Bagi mereka yang benar-benar ingin keluar dari Islam bukan kerana dengki dan rancangan jahat terhadap Islam, mereka akan mendapat privilege untuk berbincang dengan ilmuan Islam yang berkelayakan, untuk benar-benar menyemak semula sebab-sebab yang mencetus keinginannya untuk keluar dari Islam. Ini adalah satu proses kaunseling yang dinamakan ‘istitab'. Tempohnya boleh mencecah 3 hari sehingga seumur hidup bergantung kepada keadaan dan keputusan pemerintah Islam dalam menilai seseuatu kes dan individu.
Namun tidak dinafikan berkemungkinan sewaktu tempoh kaunseling itu, individu itu telah pun keluar dari Islam, walaupun begitu tidak semestinya hukuman bunuh serta merta akan dilaksanakan, khususnya jika tiada sebarang kempen memburukan Islam. Sepanjang tempoh itu, kaunseling boleh terus berjalan. Usaha membawa dirinya untuk kembali yakin dengan Islam berterusan.
5. Keluar Islam Secara ‘Senyap' & ‘Bising'
Bagi yang tetap pendirian walau apa juga jenis kaunseling yang diberi, pemerintah Islam juga tidak akan mengambil tindakan ke atas mereka jika keluarnya mereka secara senyap sunyi tanpa kempen dan memperlecehkan Islam.
Hakikatnya di Malaysia sudah amat ramai yang keluar dari Islam dengan cara ini. Adakah mereka dihukum bunuh!? Tidak !, ini disebabkan tiadanya pelaksanaan hukum hudud di Malaysia dan malah jika ada sekalipun, dia tetap tidak dihukum kerana ia berlaku di luar pengetahuan pemerintah. Hukuman tatkala itu hanya akan bermula di alam kuburnya sehingga akhirat.
Tindakan hukuman (dalam sesebuah Negara yang melaksanakan hukum Islam) hanya akan pasti dilaksanakan berpunca dari tindakannya yang memperlecehkan dan memburukkan Islam, tindakan ini sama seperti menyerang dan mengkhianati Islam dan seluruh penganutnya, itulah erti keluar Islam dengan 'bising'.
Malah jika mengikut logik sekalipun, dalam sesebuah negara maju dan rakyat berpendidikan, sudah tentu semua kita dilarang untuk mengutuk sesama agama lain secara terang-terangan kerana ia tidak mendatangkan kecuali keburukan dan kebahayaan yang besar. Allah swt sendiri melarang mencerca sembahan-sembahan selain Allah yang dilakukan oleh penganut agama lain. (Rujuk Surah al-An'am : 108)
Pun begitu, tentunya setiap hari dan waktu, akan sentiasa ada musuh-musuh dan pembenci Islam yang mencerca Islam dan Allah swt Islam secara tertutup, di rumah -rumah mereka, di sekolah mereka atau di dalam kelompok mereka. Hal yang sama turut berlaku di dalam kelompok Islam, mereka mencerca agama lain secara tertutup.
Itu adalah perkara biasa yang tidak dapat dielakkan di dalam kehidupan manusiawi. Ia turut berlaku di zaman nabi s.a.w, orang munafiq amat kerap mengutuk Nabi dan Islam secara tertutup walaupun dipimpin oleh manusia yang sehebat nabi Muhammad s.a.w.
PENUTUP
Demikian sedikit ulasan yang mampu dan sempat saya berikan bagi sesiapa yang masih keliru berkenaan hal ini, KHSUSNYA di kalangan orang bukan Islam. Juga bagi mereka yang merasa Islam kurang toleran kerana boleh masuk dan tidak boleh keluar. Harapan saya ulasan ini akan dapat memberikan sedikit kejelasan. Para pembaca dialukan untuk memberikan lain-lain hujah minda, semoga ia dapat dimanfaatkan oleh saya, juga pembaca lain.
Bagi pembaca Islam yang lebih cenderung mencari dalil dan rujukan serta istilah arab. Jika anda terfikir adakah isi kandungan tulisan saya ini mempunyai sandaran dalil dan hujjah para ulama Islam. Saya jawab ringkas, YA. Cuma tidak saya nyatakan untuk memudahkan. Sebahagian hujah dan dalil sila baca artikel saya berikut dan satu lagi hasil penulisan penulis tamu ( Jawapan Kekeliruan Penentang Hukum Murtad )
Tuesday, July 14, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment