Monday, November 30, 2009

Nuklear & Kesannya


Bom atom yang di gugurkan di Hiroshima merupakan peningkatan kuasa pemusnahan daripada beberapa tan TNT kepada kekuatan yang setara dengan ribuan tan TNT (kilotan). Bom hidrogen yang dihasilkan satu dekad kemudianya merupakan peningkatan kekuatan daripada ribuan tan TNT kepada juta tan TNT (megatan).

Dunia dijangkakan akan mempunyai senjata nuklear berkekuatan 10,000 megatan TNT. Sebuah bom termonuklear mempunyai kuasa letupan lebih kuat daripada gabungan seluruh kuasa letupan yang pernah digunakan oleh manusia setakat ini, dalam setiap pertempuran di sepanjang zaman.

Peletusan bom nuklear menghasilkan gelombang letupan, gelombang terma, sinaran gamma dan neutron, luruhan radioaktif, denyutan elektromagnet dan gangguan-gangguan atmosfera. Hampir setengah daripada jumlah tenaga ledakkan nuklear dibebaskan melalui gelombang letupan. Gelombang letupan dihasilkan oleh peningkatan tekanan secara keraksaksaan yang berlaku di dalam bahan-bahan yang sedang mengewap. Melalui udara, gelombang letupan bergerak dengan kelajuan supersonik.

Tubuh manusia boleh di asak mati oleh gelombang letupan, sehingga ke tempat-tempat di mana tekanan lebihannya yang disebabkan oleh gelombang letupan, sekurang-kurangnya satu atmosfera melebihi tekanan biasa. Walaupun dilindungi oleh perisai terma atau perisai sinaran, manusia disekitar tempat letupan boleh mati akibat daripada kerosakkan-kerosakkan terhadap paru-paru, yang disebabkan oleh gelombang letupan. Satu pertiga daripada tenaga ledakkan dibebaskan dalam bentuk kilat terma. Kilat terma menghasilkan suhu yang tersangat tinggi dan secara serta-merta menghantar gelombang terma yang bergerak dengan kelajuan cahaya. Suhu yang sangat tinggi ini mengkondensasikan segala yang berada disekitar tempat ledakkan. Pada jarak yang lebih jauh, bahan-bahan pepejal akan menjadi cair. Pada jarak yang jauh sedikit lagi suhu mungkin cukup tinggi untuk menyebabkan kebakaran. Kesemua ini akan menyebabkan terjadi ribut api. Suhu akan meningkat tinggi, sehingga mereka yang berada ditempat-tempat perlindungan yang kukuh akan menjadi rentung atau mati kerana kekurangan oksigen Sebanyak 5% tenaga ledakkan nuklear dibebaskan melalui pancaran sinar gamma dan neutron. Pada bom termonuklear pancaran sinaran awalan ini tidak memainkan peranan utama membunuh secara serta-merta, kerana kesan letupan dan kesan termanya lebih hebat.

Denyutan elektromagnet yang dihasilkan oleh ledakkan bom nuklear tidak membahayakan manusia tapi ianya mampu memporak-perandakan sistem-sistem perhubungan moden yang mana lanjutan ini akan menyukarkan usaha-usaha penyelamatan mangsa. Selepas kesan serta-merta diatas berlaku pula luruhan radioaktif yang akan menyebabkan manusia menyerap dos sinaran yang boleh menyebabkan maut jika pendedahan berlaku dalam masa yang cukup lama terutamanaya jika berada dikawasan lapang. Satu megatan bom nuklear akan menghasilkan luruhan radioaktif yang boleh menyebabkan maut pada kawasan lingkungan 2000 km persegi.

Kesan peperangan nuklear tidak terhenti dengan kematian dan kecedraan yang berlaku secara serta merta sahaja. Kerana bukti penduduk Hiroshima dan Nagasaki yang masih hidup saki bakinya menunjukkan mereka menderita akibat dari kerosakkan dan kesan-kesan jangka panjang sinaran radioaktif yang terhasil. Antara kesan yang timbul adalah penyakit kulit, keguguran rambut, lukemia dan penyakit genetik semakin berleluasa selepas peperangan.

Bagi yang selamat, mereka akan menyaksikan satu pemandangan yang amat mengerikan. Mayat-mayat manusia dan bangkai-bangkai mangsa sinaran yang sedang mereput, sisa-sisa buangan dan najis yang tidak terurus akan menjadi tempat pembiakkan yang cepat bagi lalat dan segala jenis serangga yang lebih tahan sinaran. Keadan ini akan memudahkan penyebaran wabak penyakit. Mereka yang sakit tidak dapat dibantu dengan berkesan kerana infrastruktur perubatan dan kesihatan tidak teratur ataupun lumpuh.

Sistem perhubungan, sistem pengangkutan dan pendek kata segala jenis perkhidmatan dan perbekalan makanan dan tenaga menjadi lumpuh. Bekalan air melalui sistem yang ada tidak dapat berfungsi lagi kerana telah dicemari dengan luruhan radioaktif yang menyebabkan air tidk selamat untuk di minum.

Kesemua zarah-zarah halus terampai di atmosfera dianggarkan akan menghalang 99% cahaya suria daripada sampai ke permukaan bumi selama beberapa minggu, matahari pada tengaharinya seperti bulan purnama. Suasana gelap kesenjaan ini dijangka berlarutan sekurang-kurangnya enam bulan dan lapan bulan berikutnya suasana ini akan berkurangan sebanyak setengah kali ganda sahaja. Kegelapan ini akan menghentikan proses fotosintesis oleh tumbuhan menyebabkan banyak tumbuhan mati. Suhu yang terlalu rendah juga membunuh banyak hidupan dan menyebabkan rantaian makanan akan musnah serta tercemar. Mereka yang selamat akan mengalami kebuluran atau mati akibat keracunan radioaktif.

30% sehingga 70% lapisan ozon akan musnah dan memerlukan masa yang lama untuk membinanya kembali. Cahaya ultra-lembayung akan memasuki bumi dengan kadar yang tinggi mampu menyebabkan kanser kulit dan kerosakkan mata. Negara-negara yang tidak terlibat juga akan mengalami kesan dari segi fizikal dan ekonomi kerana sisa radioaktif yang bertebaran di atmosfera berpindah disebabkan pergerakkan atmosfera.. Dari segi ekonomi, jika negara yang terlibat adalah negara yang merupakan sumber pengeluar bahan makanan, ternakkan dan pertanian maka perdagangan dan pemebekalan antarabangsa sudah tentu akan mengalami krisis. Telaga-telaga minyak yang musnah menyebabkan sistem bekalan minyak dunia terganggu. Sememangnya ini amat merugikan dunia.

Wednesday, November 25, 2009

Tahniah kakak !




Bukan Islam Masuk Masjid...? Boleh ke?



Majoriti ulama bersepakat bukan Islam TIDAK BOLEH memasuki Masjidil Haram, namun dengan agak ketara mereka berbeza ijtihad dalam menentukan hukum bagi masjid-masjid yang lain.

Namun demikian, majoriti ulama silam dan kontemporari dilihat MENGHARUSKAN bagi masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti :-

1) Mestilah dengan izin umat Islam atau badan berkuasa Islam bagi masjid berkenaan.

2) Mestilah mempunyai sebab yang munasabah untuk memasukinya sama ada untuk mendengar penerangan berkenaan Islam, mendaftar sesuatu, bertanya, melihat dan mempelajari cara ibadah umat Islam dan yang seumpamanya.

3)Mereka mestilah menghormati seluruh keadaan dan alatan masjid, tidak membuat kebisingan dan memakai pakaian yang sesuai seperti menutup aurat bagi wanitanya yang izin memasuki masjid.

(untuk perbincangan terperinci - rujuk www.zaharuddin.net)

Friday, November 20, 2009

Pergi kem ? eee... tak nak lah !


“Arif nak pergi kem motivasi?” tanya seorang ibu kepada si anak.

“Mmmm... errr...!!!” jawab si anak.

Tidak perlu menyusun ayat. Getar bibir itu sudah menceritakan segala-galanya.

“Kenapa tak nak pergi?” tanya si ibu lagi.

“Boring!” Arif jujur menjawab.

Susah untuk menidakkan pandangan anak-anak tentang kem motivasi.

Membosankan, tiada televisyen, tidak boleh guna telefon bimbit, tiada air-conditioner, cari salah kita orang, suruh insaf dan bertaubat dan kena menangis sebab berdosa dengan ibu bapa, kemudian kemuncaknya ialah menangis dalam gelap sebab takut mati.

Lebih teruk, penceramah dilihat sebagai orang upahan ibu bapa untuk membasuh anak-anak agar mereka insaf, dan seterusnya akan mengikut kata-kata ibu bapa. Senanglah kerja mereka.

Aduh, tidak mudah untuk persepsi ini mahu diatasi.

Ada bahagian yang perlu diusahakan oleh penganjur program, ada juga usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa.

DI PIHAK PENGANJUR

Cuba lihat iklan Aidilfitri PTPTN dan bandingkan dengan iklan Aidilfitri Petronas. Apakah reaksi umum kepada kedua-dua iklan tersebut?

Mungkin ramai yang sukar untuk mengingati, iklan PTPTN mana satukah yang saya maksudkan? Berbeza pula dengan iklan Petronas. Ada banyak versi yang boleh dikenang. Janda anak tujuh yang mencari daging lembu, pakcik tua dengan payung mayat membantu anak muda berkereta yang sombong, ayah jangan lupa pakai lampin tau, dan banyak lagi siri iklan Aidilfitri Petronas yang menjadi kenangan.

Ia sudah cukup untuk menjelaskan sesuatu.

“Show, don’t tell!” adalah prinsip penting dalam dunia penyiaran. Baik filem dan drama, mahu pun iklan. Filem, drama dan iklan yang baik adalah daripada jenis yang banyak memaparkan, tanpa banyak menceritakan. Atau dalam bahasa mudah, jangan berceramah, jangan membebel.


Justeru iklan Petronas kurang dialog, tetapi banyak subteks di dalam penceritaannya. Banyak benda sampai maksudnya tanpa perlu disyarahkan mesej yang hendak disampaikan. Berbeza dengan iklan PTPTN yang bersyarah, mengajar, preaching dan keputusan akhirnya, membosankan!

Kem Motivasi.

Kem adalah perkataan yang sudah ada pre conceived idea mengenainya.

Begitu juga dengan motivasi.

Kem itu hutan, panas, nyamuk, hujan, tiada Astro. Motivasi pula ceramah, bosan, basuh, dan insaf.

Justeru apa yang boleh penganjur usahakan, adalah pada mengurangkan konotasi tersebut daripada menyusahkan ibu bapa memujuk anak-anak hadir ke program.

LANGKAH PROAKTIF

1. Jurulatih dan fasilitator bukan orang upahan ibu bapa. Mereka adalah orang upahan anak-anak yang upahnya dibayar oleh ibu bapa. Apa yang anak mahu ibu bapa tahu, akan disampaikan oleh jurulatih dan fasilitator kepada mereka.
2. Ceramah bukan untuk memberitahu peserta apa yang jurulatih tahu, tetapi untuk sampaikan apa yang peserta perlu. Justeru ceramahnya pendek, diskusi dan aktiviti berkumpulan yang lebih. Tujuannya ialah, show… don’t tell!
3. Bumi luas, jangan sempitkan kepada dewan. Justeru aktiviti adalah indoor, outdoor, dan ‘tidor‘ (tidur)!
4. Solat 5 kali tetapi makan 6 kali!

DI PIHAK IBU BAPA

Rekod komunikasi ibu bapa dan anak penting untuk dinilai.

Jika selama ini ibu bapa lebih banyak memerintah dan anak-anak pula memang sentiasa dipaksa untuk belajar, dipaksa untuk mandi, dipaksa untuk solat, dipaksa untuk tutup televisyen, justeru jangan terkejut jika cadangan untuk anak menyertai kem motivasi mendapat reaksi yang negatif. Sukar untuk membayangkan tiba-tiba munculnya miracle!

Jangkaan atau expectation mesti disesuaikan dengan track record hubungan di antara ibu bapa dan anak. Seandainya ibu bapa dan anak banyak terisi komunikasi antara mereka dengan diskusi, mendengar sebelum didengar, maka ruang perbincangan untuk mengajak anak ke kem motivasi mungkin lebih mudah.


LANGKAH PROAKTIF

1. Penghantaran bukan hukuman, tetapi hadiah. Ibu bapa yakin bahawa anaknya hebat dan banyak potensi. Tetapi mereka memerlukan beberapa kemahiran, pendedahan, jaringan rakan dan pengalaman yang ibu bapa tidak boleh berikan di rumah. Kem ini dipilih untuk melengkapkan perjalanan hebat anak-anak
2. Jurulatih dan fasilitator adalah bekas peserta yang pernah bosan dengan kem motivasi. Yakinkan anak-anak bahawa mereka tidak akan dibosankan oleh mereka yang pernah menderita dibosankan oleh program-program yang pernah mereka sertai semasa di usia anak-anak.
3. Jurulatih dan fasilitator adalah bekas remaja yang masih dekat usianya dengan anak-anak berbanding ibu bapa dan guru-guru. Jika memandang dari jauh, pandangan sudah samar. Jika memandang terlalu dekat, pandangan juga kabur. Memandang pada jarak sederhana, memberikan penglihatan yang tepat dan jelas. Itu kelebihan jurulatih dan fasilitator kem yang dipilih ini.
4. 3 hari 2 malam ini adalah satu-satunya peluang dalam setahun, untuk ayah keluar berdating dengan ibu. Boleh kan?

Selebihnya, terserah kepada kebijaksanaan ibu bapa meyakinkan anak-anak bahawa menyertai kem adalah suatu pengalaman yang menyeronokkan.

( diolah semula daripada tulisan Abusaif - www.saifulislam.com )
Gambar : Kem Kepimpinan dan Jatidiri (KENDIRI) SMKBU3 2009
13 - 15 November 2009
Kem Rimba Ria Suara Hutan, Sg. Chongkak, Hulu Langat, Selangor.

Abuamin Telah Kembali...

Hari ini genap 42 hari blog ini tidak diupdate.

Hari ini bermulalah cuti persekolahan akhir tahun bagi 2009 ini. Kukira, barangkali inilah masanya untukku kembali menghidupkan blog ini, sebagai satu wadah perkongsian ilmu dan pengalaman.

Juga, ku harap skill penulisanku akan dapat diasah kembali.

Buat teman-teman yang masih sudi menjengukku di sini, hanya doaku yang mampu ku berikan atas rasa terharu dan kasihku pada teman-teman yang sudi berziarah...