Friday, November 20, 2009

Pergi kem ? eee... tak nak lah !


“Arif nak pergi kem motivasi?” tanya seorang ibu kepada si anak.

“Mmmm... errr...!!!” jawab si anak.

Tidak perlu menyusun ayat. Getar bibir itu sudah menceritakan segala-galanya.

“Kenapa tak nak pergi?” tanya si ibu lagi.

“Boring!” Arif jujur menjawab.

Susah untuk menidakkan pandangan anak-anak tentang kem motivasi.

Membosankan, tiada televisyen, tidak boleh guna telefon bimbit, tiada air-conditioner, cari salah kita orang, suruh insaf dan bertaubat dan kena menangis sebab berdosa dengan ibu bapa, kemudian kemuncaknya ialah menangis dalam gelap sebab takut mati.

Lebih teruk, penceramah dilihat sebagai orang upahan ibu bapa untuk membasuh anak-anak agar mereka insaf, dan seterusnya akan mengikut kata-kata ibu bapa. Senanglah kerja mereka.

Aduh, tidak mudah untuk persepsi ini mahu diatasi.

Ada bahagian yang perlu diusahakan oleh penganjur program, ada juga usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa.

DI PIHAK PENGANJUR

Cuba lihat iklan Aidilfitri PTPTN dan bandingkan dengan iklan Aidilfitri Petronas. Apakah reaksi umum kepada kedua-dua iklan tersebut?

Mungkin ramai yang sukar untuk mengingati, iklan PTPTN mana satukah yang saya maksudkan? Berbeza pula dengan iklan Petronas. Ada banyak versi yang boleh dikenang. Janda anak tujuh yang mencari daging lembu, pakcik tua dengan payung mayat membantu anak muda berkereta yang sombong, ayah jangan lupa pakai lampin tau, dan banyak lagi siri iklan Aidilfitri Petronas yang menjadi kenangan.

Ia sudah cukup untuk menjelaskan sesuatu.

“Show, don’t tell!” adalah prinsip penting dalam dunia penyiaran. Baik filem dan drama, mahu pun iklan. Filem, drama dan iklan yang baik adalah daripada jenis yang banyak memaparkan, tanpa banyak menceritakan. Atau dalam bahasa mudah, jangan berceramah, jangan membebel.


Justeru iklan Petronas kurang dialog, tetapi banyak subteks di dalam penceritaannya. Banyak benda sampai maksudnya tanpa perlu disyarahkan mesej yang hendak disampaikan. Berbeza dengan iklan PTPTN yang bersyarah, mengajar, preaching dan keputusan akhirnya, membosankan!

Kem Motivasi.

Kem adalah perkataan yang sudah ada pre conceived idea mengenainya.

Begitu juga dengan motivasi.

Kem itu hutan, panas, nyamuk, hujan, tiada Astro. Motivasi pula ceramah, bosan, basuh, dan insaf.

Justeru apa yang boleh penganjur usahakan, adalah pada mengurangkan konotasi tersebut daripada menyusahkan ibu bapa memujuk anak-anak hadir ke program.

LANGKAH PROAKTIF

1. Jurulatih dan fasilitator bukan orang upahan ibu bapa. Mereka adalah orang upahan anak-anak yang upahnya dibayar oleh ibu bapa. Apa yang anak mahu ibu bapa tahu, akan disampaikan oleh jurulatih dan fasilitator kepada mereka.
2. Ceramah bukan untuk memberitahu peserta apa yang jurulatih tahu, tetapi untuk sampaikan apa yang peserta perlu. Justeru ceramahnya pendek, diskusi dan aktiviti berkumpulan yang lebih. Tujuannya ialah, show… don’t tell!
3. Bumi luas, jangan sempitkan kepada dewan. Justeru aktiviti adalah indoor, outdoor, dan ‘tidor‘ (tidur)!
4. Solat 5 kali tetapi makan 6 kali!

DI PIHAK IBU BAPA

Rekod komunikasi ibu bapa dan anak penting untuk dinilai.

Jika selama ini ibu bapa lebih banyak memerintah dan anak-anak pula memang sentiasa dipaksa untuk belajar, dipaksa untuk mandi, dipaksa untuk solat, dipaksa untuk tutup televisyen, justeru jangan terkejut jika cadangan untuk anak menyertai kem motivasi mendapat reaksi yang negatif. Sukar untuk membayangkan tiba-tiba munculnya miracle!

Jangkaan atau expectation mesti disesuaikan dengan track record hubungan di antara ibu bapa dan anak. Seandainya ibu bapa dan anak banyak terisi komunikasi antara mereka dengan diskusi, mendengar sebelum didengar, maka ruang perbincangan untuk mengajak anak ke kem motivasi mungkin lebih mudah.


LANGKAH PROAKTIF

1. Penghantaran bukan hukuman, tetapi hadiah. Ibu bapa yakin bahawa anaknya hebat dan banyak potensi. Tetapi mereka memerlukan beberapa kemahiran, pendedahan, jaringan rakan dan pengalaman yang ibu bapa tidak boleh berikan di rumah. Kem ini dipilih untuk melengkapkan perjalanan hebat anak-anak
2. Jurulatih dan fasilitator adalah bekas peserta yang pernah bosan dengan kem motivasi. Yakinkan anak-anak bahawa mereka tidak akan dibosankan oleh mereka yang pernah menderita dibosankan oleh program-program yang pernah mereka sertai semasa di usia anak-anak.
3. Jurulatih dan fasilitator adalah bekas remaja yang masih dekat usianya dengan anak-anak berbanding ibu bapa dan guru-guru. Jika memandang dari jauh, pandangan sudah samar. Jika memandang terlalu dekat, pandangan juga kabur. Memandang pada jarak sederhana, memberikan penglihatan yang tepat dan jelas. Itu kelebihan jurulatih dan fasilitator kem yang dipilih ini.
4. 3 hari 2 malam ini adalah satu-satunya peluang dalam setahun, untuk ayah keluar berdating dengan ibu. Boleh kan?

Selebihnya, terserah kepada kebijaksanaan ibu bapa meyakinkan anak-anak bahawa menyertai kem adalah suatu pengalaman yang menyeronokkan.

( diolah semula daripada tulisan Abusaif - www.saifulislam.com )
Gambar : Kem Kepimpinan dan Jatidiri (KENDIRI) SMKBU3 2009
13 - 15 November 2009
Kem Rimba Ria Suara Hutan, Sg. Chongkak, Hulu Langat, Selangor.

No comments: