




Enjin V6 3.0 litre
Top speed 250 km/h
0 to 100 km/h in 5.9 seconds... biar betul ?!!
Ada yang berminat ke? design macam otromen je..hehehe..
AL-MARHUM USTAZ ROSLI OSMAN
yang ku kenali…
Perkenalan kami bermula pada Disember 1999. Beliau seorang yang kelihatan serius pada mulanya, namun hakikatnya beliau adalah seorang yang ceria, humorous dan sangat caring pada sahabat-sahabatnya, khususnya di SMIP. Saya berasa senang dan selesa apabila bersamanya, terutamanya apabila wujud keserasian pemikiran dalam hal-hal tertentu. Pandangan-pandangannya amat jelas, kerana beliau sentiasa bersandar pada Al-Quran dan hadith apabila mengambil sesuatu pendirian dalam sesuatu isu.
Perkara yang paling saya kagumi pada diri almarhum ialah sikapnya yang amat sederhana, dan prinsipnya yang pantang berhutang. Dalam dunia kita yang serba berhutang ( kereta, rumah, perabot dan sebagainya ), beliau mengelakkan semua itu. Baginya, biarlah hidup serba sederhana, asalkan hati tenang dan bebas hutang. Banyak perkara diluahkan beliau sepanjang persahabatan kami, termasuk hal-hal peribadi keluarganya. Lazimnya, kami bersembang di tepi padang selepas habis bermain bolasepak. Kehebatan beliau di atas padang tiada siapa yang dapat menafikan. Namun, kehebatan beliau yang lebih utama ialah setiap tutur katanya mengandungi nasihat untuk dirinya dan sahabat-sahabatnya.
Sifat tawakkal beliau amat tinggi. Peristiwa di Masjid HICOM menjadi bukti. Ketegasan beliau kepada prinsip juga amat saya kagumi. Kami pernah bersama-sama berbincang untuk mengambil satu keputusan yang amat sukar, menongkah arus demi membetulkan kepincangan yang berlaku walaupun risikonya adalah kehilangan sumber pencarian kami. Namun atas prinsip membetulkan kepincangan itu, Lillahi Ta’ala, akhirnya ia berjaya.
Sebagai seorang individu, almarhum adalah seorang yang “semua boleh” ! Bernasyid, mencipta lagu, memasak (favourite : char kuey tiaw !) sukan (bolasepak, takraw, badminton, olahraga, dll), melukis, bertukang, memancing, aktiviti lasak, mountain climbing, berpuisi dan macam-macam lagi. Sukar dicari insan seperti beliau.
Sebagai pendidik, beliau amat tegas tetapi penyayang. Tanyalah pada mana-mana anak muridnya, nescaya tiada perasaan kecil hati meraka pada almarhum walaupun pernah dirotan dan didenda. Ini kerana mereka sedar akan keikhlasan almarhum dalam mendidik dan mentarbiyyah mereka menjadi mukmin bertaqwa.
Kepulangannya kerahmatullah pada tanggal I Syawal 1425 benar-benar mengejutkan. Saya berada bersamanya tatkala akhir hayatnya, dan beliau meninggalkan kita semua tatkala dirinya amat diperlukan ummah. Saya menyeru kepada diri saya dan kepada sekalian anak murid almarhum Ustaz Rosli, jadilah sepertinya dan semoga akan muncul nanti seratus lagi insan seperti beliau yang akan mendaulatkan Islam di bumi Malaysia ini. Allahu Akbar !!!
NORHADI MOHAMAD HUSIN
SMIP 2000 – 2005
Diolah semula daripada sebahagian tulisan seorang bekas tahanan ISA
ISLAM MENGHARAMKAN PENAHANAN TANPA BICARA
Sayyid Abul Al-Mawdudi dan ulamak seangkatan dengan beliau yang menentang digubal undang-undang penahanan tanpa bicara semasa penubuhan Pakistan pada tahun 1940an telah menegaskan bahawa mana-mana negara muslim yang melaksanakan undang-undang tanpa bicara maka negara itu adalah negara munafik!
Kegigihan Al-Mawdudi menentang undang-undang zalim itu berkesudahan dengan beliau sendiri empat kali keluar masuk penjara. Dua di antaranya, Al-Mawdudi ditahan tanpa dibicarakan.
Al-Mawdudi menegaskan bahawa penahanan tanpa bicara diharamkan oleh Islam dengan nas yang qat'ie. Penahanan tanpa bicara bukan persoalan ijtihadi demi menjaga kemaslahatan awam.
Ada golongan yang berpendapat bahawa ISA diperlukan oleh negara demi menjaga maslahah awam. Berdasarkan pandangan ini mereka menyatakan tidak salah menahan golongan minoriti demi menjaga kepentingan majoriti.
Hujah ini terbukti songsang. Ianya meleset dan sesat. Ini kerana rekod penahanan ISA membuktikan bahawa ISA telah digunakan semata-mata untuk menjaga kepentingan golongan minoriti dengan menindas hak majoriti!
Golongan minoriti adalah elit penguasa. Sedangkan majoriti yang ditakut-takutkan dan menjadi takut apabila ISA digunakan adalah rakyat!
Kalaupun ianya benar, jika golongan minoriti yang dikatakan menjejaskan kepentingan majoriti itu benar-benar melakukan atau akan melakukan kerosakan, mengapa takut? Dakwa dan hadapkan ke mahkamah! Biar pemerintah dan pihak yang dituduh bersalah itu berentap sebagai jantan lawan jantan di mahkamah.
Tapi tunggu dulu! Kalau hadapkan ke mahkamah tahanan boleh bersuara. Boleh guna peguam-peguam yang top.
No..No..No..
Jelas bahawa tahanan ISA tidak dibawa ke mahkamah adalah kerana penguasa tidak gentlemen. Takut terburai semua busung dan nanah pemerintah.
Lebih selamat cekup! Paksa tutup mulut. Sumbat ke Kem Kamunting! Ulamak songsang pula berkokok kata ya, ISA menepati kehendak syarak!
Tahan tanpa bicara bertentangan prinsip Rasullullah
Terdapat pula ulamak songsang yang berstatus tinggi telah menghujahkan ISA dari perspektif siyasah syar'iyyah. Penulisannya dicetak dalam sebuah buku kecil dan diedarkan di atas nama agensi agama tersohor.
Seterusnya penulisan itu diedarkan sebagai kertas kerja dalam kursus-kursus tatanegara.
Maka mereka pun mentarbiyyah penyokong-penyokongnya dengan fikrah bahawa menahan seseorang tanpa dihadapkan ke mahkamah adalah selaras dengan prinsip Islam!
Sayyid Abu A'la Al-Mawdudi mengeluarkan hujah yang jelas menyatakan bahawa penahanan tanpa bicara adalah amat bertentangan dengan prinsip yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.
Al-Mawdudi berhujjah dengan peristiwa Hatib bin Abi Balta'a. Peristiwa ini berlaku sebelum penaklukan kota Makkah oleh tentera Islam.
Rasulullah s.a.w sedang membuat persediaan untuk menyerang Makkah apabila salah seorang sahabahnya yang bernama Hatib bin Abi Balta'a mengirim surat melalui seorang wanita memberitahu pemimpin-pemimpin Quraisy tentang rancangan Rasulullah s.a.w tersebut.
Baginda memerintahkan Ali bi Abi Talib dan Zubair bi Al-Awwam dengan arahan: "Pergi segera ke arah Makkah, di satu tempat tertentu kamu akan menemui seorang wanita membawa sepucuk surat. Ambil surat itu dan bawa surat itu kepadaku".
Dua orang sahabah tersebut telah pergi ke tempat yang diarahkan oleh Rasulullah s.a.w dan dengan tepat menemui wanita tersebut di situ. Mereka mengambil surat tersebut daripada wanita itu dan membawa surat itu kepada Rasulullah s.a.w.
Perbuatan Hatib adalah satu pengkhianatan. Memberi maklumat rahsia tentang tentera Islam kepada musuh pada saat-saat genting peperangan adalah satu perbuatan khianat.
Sepatutnya tidak ada tindakan yang lebih wajar terhadap Hatib selain daripada dibawa ke tribunal tertutup!
Tetapi perkara ini tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Sebaliknya Hatib dibawa ke mahkamah terbuka di Masjid Nabawi di hadapan ratusan para sahabah meminta Hatib menjelaskan tindakannya mengutus surat kepada pemimpin-pemimpin Quraisy.
Hatib menjelaskan: "Ya Rasulullah, aku memang tidak menentang Islam dan tidak perlu aku lakukan perkara ini untuk mendedahkan rahsia tentera Islam. Sebenarnya anak-anak dan isteriku masih berada di Makkah dan aku tidak mempunyai anggota kabilahku untuk melindungi mereka di sana. Aku menulis surat tersebut dengan harapan pemimpin-pemimpin Quraisy terhutang budi kepadaku dan melindungi anak-anak dan isteriku sebagai membalas budiku."
Umar bi Al-Khattab bangkit dan dengan hormat mengesyorkan: "Ya Rasulullah, izinkan aku memenggal kepala pengkhianat ini dengan pedangku."
Rasulullah s.a.w menjawab: "Hatib adalah salah seorang pejuang dalam Perang Badar dan penjelasannya untuk membela diri adalah benar."
Walaupun perbuatan Hatib merupakan satu pengkhianatan yang melibatkan rahsia ketenteraan, Rasulullah s.a.w membebaskannya di atas dua sebab.
Pertama, rekod sumbangan dan perjuangan Hatib untuk Islam adalah amat cemerlang dan menjadi satu perkara yang amat mustahil beliau bertindak dengan niat untuk mengkhianati Islam dan negara. Hatib adalah pejuang dalam Perang Badar dan terbukti telah menyabung nyawanya untuk mempertahankan Islam.
Kedua, keluarganya memang benar-benar diancam bahaya di Makkah. Oleh kerana itu, jika Hatib mempamerkan sifat-sifat kelemahan di atas kedudukan anak-anaknya yang dalam bahaya, dan untuk itu telah menulis surat kepada pemimpin-pemimpin Quraisy, maka menghukumnya dengan mendedahkan tindakannya itu di hadapan kaum muslimin sudah memadai buatnya.
Allah telah menyebut bahawa keadaan Hatib dalam Al-Quran, tetapi tidak mengenakan hukuman selain daripada kecaman dan nasihat.
Al-Mawdudi menegaskan bahawa Rasululalh s.a.w tidak menggunakan tribunal tertutup kerana hanya melalui perbicaraan terbuka sahaja kebenaran dan hak dapat ditegakkan.
Islam menegaskan bahawa pemerintah bukan sahaja dituntut untuk menegakkan keadilan, tetapi usaha pemerintah untuk menegakkan keadilan juga mesti dapat dilihat secara jelas oleh rakyat.
Tiada siapa yang mempertikai keadilan Rasulullah s.a.w. Tidak mungkin ada seorang sahabatnya yang akan mempersoalkan sedikit pun keputusannya terhadap Hatib jika baginda membuat keputusan itu bersendirian.
Bahkan, Rasulullah s.a.w boleh bermusyawarah dengan beberapa orang sahaja di kalangan sahabatnya seperti peristiwa fitnah terhadap Aisyah. Dalam peristiwa tersebut baginda meminta pendapat Usamah bin Zaid dan Ali bin Abi Talib secara berasingan.
Tiada seorang pun sahabatnya yang mempertikaikan perbuatan baginda hanya merujuk kepada Usamah dan Ali dalam kes Aisyah.
Demikian juga, tidak mungkin ada seorang sahabah pun yang akan protes mahupun mempertikai jika kes Hatib diputuskan secara tertutup di kalangan beberapa orang sahabah pilihan baginda.
Kenapa ini tidak berlaku?
Jelas bahawa prinsip Rasululalh s.a.w dalam menegakkan keadilan adalah Islam menegaskan bahawa pemerintah bukan hanya dituntut untuk menegakkan keadilan, tetapi usaha pemerintah untuk menegakkan keadilan juga mesti dapat dilihat secara jelas, telus dan terbuka oleh rakyat.
Dengan itu, dalam hal-hal yang bertujuan untuk membela hak dan menegakkan keadilan, tidak wujud perbicaraan tertutup dalam Islam. Dengan itu, pastinya tidak ada penahanan tanpa bicara dalam Islam!
Islam mentakrifkan zalim sebagai tidak meletakkan sesuatu ditempatnya. Oleh itu jelas ISA adalah zalim kerana ia tidak memberikan keadilan kepada seseorang untuk mendapatkan pengadilan. Berdepan dengan penangkapan dan alasan pertuduhan, tanpa proses pengadilan tidak mungkin seseorang itu mendapatkan keadilan.
Tanpa pengadilan tiada keadilan!
Semasa saya di Kem Kamunting saya kenangkan berapa ramai lagikah manusia yang seperti saya ditahan bukan di atas kesalahan yang telah dibuktikan di mahkamah.
Bahkan yang dibawa ke mahkamah pun, tidak semestinya haknya telah terjamin. Tidak mustahil orang yang tidak bersalah ada yang merengkok bertahun-tahun dalam penjara kerana kesilapan hakim membuat keputusan.
Pengalaman ditahan di Kem Kamunting menjadikan saya mengenangkan pesanan Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Ibn Majah:
"Para hakim itu terdiri daripada tiga jenis. Satu akan masuk ke syurga dan dua lagi akan dicampakkan ke neraka. Hakim yang ke syurga adalah yang memahami kebenaran dan menetapkan hukuman berdasarkan kebenaran. Hakim yang menetapkan hukuman secara tidak adil selepas memahami kebenaran, akan dicampakkan ke neraka. Demikian juga, hakim yang menjatuhkan hukuman dalam keadaan jahil turut akan dicampakkan ke neraka."
Intipati tentang hadith di atas menekankan perihal pentingnya kefahaman dan pengetahuan para hakim. Tiga kali hadith di atas menyentuh tentang persoalan kefahaman dan pengetahuan. Pertama, hakim yang masuk syurga kerana membuat keputusan di atas kefahamannya terhadap apa yang benar dan apa yang tidak benar.
Kedua, hakim yang walaupun memahami apa yang benar dan apa yang tidak benar, tetap membuat keputusan yang tidak adil, maka tempatnya adalah neraka.
Ketiga, hakim yang jahil, iaitu tidak faham apa yang benar dan apa yang tidak benar, tetapi tetap menjatuhkan hukuman, maka tempatnya juga adalah di neraka.
Oleh itu, ISA adalah satu undang-undang yang bercanggah dengan Islam kerana penguasa yang bertindak sebagai hakim telah melanggar amaran Rasulullah s.a.w agar seseorang muslim itu melindungi dirinya daripada dicampak ke neraka oleh Allah dan tidak menjatuhkan hukuman ke atas seseorang tanpa pengetahuan atau dengan sengaja membelakangkan pengetahuannya tentang kebenaran.
Keyakinan saya bahawa saya dianiayalah yang menjadikan saya begitu hampir dengan Allah dalam doa dan munajat saya. Selain berdoa setulus-tulus hati, tarbiyyah di Kem Kamunting juga telah memberi saya satu lagi kekuatan.
Kekuatan tersebut adalah tindakan menelanjangkan kezaliman orang-orang zalim ketika diri sendiri berada di bawah cengkaman kezaliman mereka memberikan suntikan tenaga dan kekuatan daya juang yang amat luar biasa!
Apa perasaan anda jika tiba-tiba diberitahu menghidap penyakit kronik, yang selalunya - berdasarkan pengalaman pesakit serupa - tidak mempunyai peluang untuk hidup lebih lama?
Atau mungkinanda dapat terus menghirup udara segar, namun sudah tidak berupaya bebas bergerak, segalanya perlu dipapah dan bantu, dan hanya terlantar menanti keajaiban untuk sembuh. Allah Maha Mengetahui akhiran hidup kita.
Perhatikan sekeliling kita. Tidak perlu pergi jauh untuk mencari contoh. Berapa ramai anggota keluarga dan kenalan rapat pergi buat selamanya tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal.
Ada teman baik yang nampak sihat, segar bugar, tiba-tiba kita mendapat khabar meninggal dunia ketika tidur.
Ada saudara-mara yang baru bertemu pada hari lebaran lalu, di hening malam kita dikejutkan panggilan telefon memaklumkan diserang angin ahmar, terus koma hingga dijemput Ilahi.
Ada rakan sekerja, belum pun mencecah usia 30 tahun, berpotensi hebat dalam kerjaya, hanya mengadu sakit sekitar matanya, bila diperiksa doktor, masya-Allah, rupanya tanpa disedari sudah lama kanser bersarang. Tidak sampai dua minggu selepas itu, ajalnya tiba. Itu belum dihitung kes-kes kemalangan maut yang menyambar tanpa sebarang amaran awal.
Sememangnya kita dituntut agar sentiasa bersedia, membuat persiapan secukupnya, bagi menghadapi maut. "Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa; dan bertakwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal." (maksud al-Baqarah: 197)
Saidina Ali r.a. ketika ditanya tentang takwa menjawab: " Taqwa adalah takut kepada Allah Yang Maha Agung, melaksanakan segala perintah yang diturunkan, reda dengan nikmat yang ada meskipun sedikit dan sentiasa dalam keadaan siap sedia menghadapi maut sebelum kedatangannya."
Soalnya, berapa ramai yang mengambil pengajaran dan iktibar daripada terkaman maut, kecuali dalam tempoh masa yang begitu singkat, untuk kemudiannya melupakan, hinggalah dikejutkan kembali dengan tragedi seterusnya. Ya, sesungguhnya, insan memang mudah alpa dan banyak pula dalehnya.
Benar, sakit merupakan nikmat, mengingatkan yang lupa, menyedarkan yang leka, dan jugasatu "cara" untuk meningkatkan martabat seseorang jika setulusnya reda dengan ujian Tuhan itu.
Berapa ramai orang yang disuntik kesedaran mendalam, keinsafan seikhlasnya, hanya setelah melalui sakit dan derita berpanjangan. Tidak kurang yang mengucap syukur kerananyawa tidak direntap dengan tiba-tiba, tetapi didahului peringatan sakit, membuatkan kita sempat bertaubat, sehingga mampu merencana hidup baru dengan usia yang berbaki.
Dengan begitu banyak peristiwa yang hadir di kiri kanan, mengapa terlalu sukar untuk rasa insaf merubah gaya hidup kita? Mengapa hati ini terlalu keras untuk memerhatikan kejadian dan gerak alam untuk kita mengambil manfaat daripadanya, sebelum segalanya sudah terlambat apabila roh tercabut dari jasad?
Perhatikan jejak usia yang ditinggalkan. Memang pantas sekali ia beredar. 32 tahun berlalu seolah-olah baru semalam dilepaskan. Masih terbayang-bayang zaman kanak-kanak di kampung.
Lintasan ingatan kian segar di bangku sekolah, guru-guru yang mendidik, kawan-kawan sepermainan, ibu ayah yang menyayangi, nenek dan datuk yang mengambil berat. Satu demi satu adegan kehidupan pahit-manis bersilih ganti.
Dan kerdilnya diri mengenangkan dosa dan maksiat, sambil membilang sekelumit jasa yang ditinggalkan, ya ... alangkah kecilnya.
Menginjak dewasa, kesibukan berkeluarga dan berkerjaya sering menjadi hambatan. Banyak yang dikejar umpama fatamorgana, dan kegelisahan menggapai cita-cita sukar diredakan. Segalanya seperti tidak mencukupi.
Dalam keadaan itu, jika kita dapat berhenti sejenak, dan sempat bermuhasabah tentang erti hidup yang makin hilang, mungkin ia seperti satu kurniaan nikmat yang begitu hebat.
Ramai yang bergelut hanya mencari kehidupan untuk diri sendiri. Amat kecil sumbangan untuk orang lain. Walhal sebahagian kebahagiaan adalah apabila kita dapat membahagiakan orang lain, apatah lagi mereka yang memusuhi kita.
Ingatlah, janji dengan Allah masih banyak belum tertunai. Dosa dengan makhlukNya tidak tertebus. Sedang malaikat maut mungkin sedang mengintai di jendela. Lalu, apa jawab nurani anda jika mengetahui derap langkah kita di dunia ini menghadapi penghujungnya.
"Cepat-cepatlah tulis autobiografi," gurau seorang kawan bila saya mengutarakan persoalan mati ini. Saya tidak pula mengambil berat saranannya kerana ... apalah sangat yang mahu dikongsi pengalaman hidup yang mendatar-kelabu ini, dan benarkah sudah singkat benar baki usiaku!