Thursday, November 20, 2008

Almarhum Ustaz Rosli Osman yang ku kenali


AL-MARHUM USTAZ ROSLI OSMAN

yang ku kenali…

Perkenalan kami bermula pada Disember 1999. Beliau seorang yang kelihatan serius pada mulanya, namun hakikatnya beliau adalah seorang yang ceria, humorous dan sangat caring pada sahabat-sahabatnya, khususnya di SMIP. Saya berasa senang dan selesa apabila bersamanya, terutamanya apabila wujud keserasian pemikiran dalam hal-hal tertentu. Pandangan-pandangannya amat jelas, kerana beliau sentiasa bersandar pada Al-Quran dan hadith apabila mengambil sesuatu pendirian dalam sesuatu isu.

Perkara yang paling saya kagumi pada diri almarhum ialah sikapnya yang amat sederhana, dan prinsipnya yang pantang berhutang. Dalam dunia kita yang serba berhutang ( kereta, rumah, perabot dan sebagainya ), beliau mengelakkan semua itu. Baginya, biarlah hidup serba sederhana, asalkan hati tenang dan bebas hutang. Banyak perkara diluahkan beliau sepanjang persahabatan kami, termasuk hal-hal peribadi keluarganya. Lazimnya, kami bersembang di tepi padang selepas habis bermain bolasepak. Kehebatan beliau di atas padang tiada siapa yang dapat menafikan. Namun, kehebatan beliau yang lebih utama ialah setiap tutur katanya mengandungi nasihat untuk dirinya dan sahabat-sahabatnya.

Sifat tawakkal beliau amat tinggi. Peristiwa di Masjid HICOM menjadi bukti. Ketegasan beliau kepada prinsip juga amat saya kagumi. Kami pernah bersama-sama berbincang untuk mengambil satu keputusan yang amat sukar, menongkah arus demi membetulkan kepincangan yang berlaku walaupun risikonya adalah kehilangan sumber pencarian kami. Namun atas prinsip membetulkan kepincangan itu, Lillahi Ta’ala, akhirnya ia berjaya.

Sebagai seorang individu, almarhum adalah seorang yang “semua boleh” ! Bernasyid, mencipta lagu, memasak (favourite : char kuey tiaw !) sukan (bolasepak, takraw, badminton, olahraga, dll), melukis, bertukang, memancing, aktiviti lasak, mountain climbing, berpuisi dan macam-macam lagi. Sukar dicari insan seperti beliau.

Sebagai pendidik, beliau amat tegas tetapi penyayang. Tanyalah pada mana-mana anak muridnya, nescaya tiada perasaan kecil hati meraka pada almarhum walaupun pernah dirotan dan didenda. Ini kerana mereka sedar akan keikhlasan almarhum dalam mendidik dan mentarbiyyah mereka menjadi mukmin bertaqwa.

Kepulangannya kerahmatullah pada tanggal I Syawal 1425 benar-benar mengejutkan. Saya berada bersamanya tatkala akhir hayatnya, dan beliau meninggalkan kita semua tatkala dirinya amat diperlukan ummah. Saya menyeru kepada diri saya dan kepada sekalian anak murid almarhum Ustaz Rosli, jadilah sepertinya dan semoga akan muncul nanti seratus lagi insan seperti beliau yang akan mendaulatkan Islam di bumi Malaysia ini. Allahu Akbar !!!

NORHADI MOHAMAD HUSIN

SMIP 2000 – 2005

(* Petikan ini pada awalnya kutulis untuk dimuatkan dalam buku biografi khas mengenang tokoh pejuang Islam oleh Pemuda Kawasan Puchong, namun tak dapat diterbitkan atas masalah teknikal)

No comments: