Friday, November 21, 2008


PROGRAM PERMUKIMAN REMAJA ISLAM CEMERLANG 2008

Pada 1-3 Ogos 2008, seramai 75 orang pelajar Islam SMKBU3 telah mengikuti satu program khemah ibadah, pembinaan syahsiah dan jatidiri yang dinamakan Permukiman Remaja Islam Cemerlang 2008 bertempat di Perlok Recreational Camp Centre (PRCC) di Sungkai, Perak Darul Ridzuan. Program ini adalah anjuran Panitia Pendidikan Islam SMKBU3 dengan kerjasama dan rundingcara oleh Knowledge Training & Consultancy.
Para peserta telah bertolak pada hari Jumaat – 1 Ogos 2008 - jam 3.30 petang bersama 3 orang guru pengiring iaitu Ustaz Norhadi Mohamad Husin, Ustazah Mastura Buang dan Cikgu Noor Suzina Saiful Yazan. Dalam perjalanan, sesuatu yang tidak diduga telah berlaku. Salah sebuah bas ( yang membawa pelajar lelaki ) telah mengalami kerosakan tayar belakang mengakibatkan mereka tiba lewat 2 jam dari masa yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, semua peserta telah menunjukkan kesabaran dan semangat yang tinggi untuk meneruskan program.
Antara aktiviti yang dilakukan oleh para peserta ialah amali solat musafir (solat jama’ dan qasar), group binding, kuliah subuh, ceramah, riadhah, treasure hunt, latihan dalam kumpulan (LDK), pembentangan dan persembahan kumpulan. Selain itu, peserta juga berpeluang menerokai diri dalam slot recall dan menguji kekuatan iman melalui solat malam (qiamullail).
Pada hari terakhir, para peserta berpeluang merasai keenakan buah durian yang dibawa “fresh” dari ladang berhampiran. Sememangnya lokasi kem yang berada di dalam dusun buah-buahan memberi peluang kepada palajar untuk merasai pengalaman hidup di kawasan dusun yang segar dan tenang dengan dikelilingi sungai serta kehijauan alam. Hampir keseluruhan peserta meluahkan perasaan gembira menjalani program ini. Mereka mendapat banyak ilmu serta pengalaman baru dan berharap untuk menyertainya lagi pada masa akan datang.

No comments: