Monday, November 17, 2008

Diolah semula daripada sebahagian tulisan seorang bekas tahanan ISA

ISLAM MENGHARAMKAN PENAHANAN TANPA BICARA

Sayyid Abul Al-Mawdudi dan ulamak seangkatan dengan beliau yang menentang digubal undang-undang penahanan tanpa bicara semasa penubuhan Pakistan pada tahun 1940an telah menegaskan bahawa mana-mana negara muslim yang melaksanakan undang-undang tanpa bicara maka negara itu adalah negara munafik!

Kegigihan Al-Mawdudi menentang undang-undang zalim itu berkesudahan dengan beliau sendiri empat kali keluar masuk penjara. Dua di antaranya, Al-Mawdudi ditahan tanpa dibicarakan.

Al-Mawdudi menegaskan bahawa penahanan tanpa bicara diharamkan oleh Islam dengan nas yang qat'ie. Penahanan tanpa bicara bukan persoalan ijtihadi demi menjaga kemaslahatan awam.

Ada golongan yang berpendapat bahawa ISA diperlukan oleh negara demi menjaga maslahah awam. Berdasarkan pandangan ini mereka menyatakan tidak salah menahan golongan minoriti demi menjaga kepentingan majoriti.

Hujah ini terbukti songsang. Ianya meleset dan sesat. Ini kerana rekod penahanan ISA membuktikan bahawa ISA telah digunakan semata-mata untuk menjaga kepentingan golongan minoriti dengan menindas hak majoriti!

Golongan minoriti adalah elit penguasa. Sedangkan majoriti yang ditakut-takutkan dan menjadi takut apabila ISA digunakan adalah rakyat!

Kalaupun ianya benar, jika golongan minoriti yang dikatakan menjejaskan kepentingan majoriti itu benar-benar melakukan atau akan melakukan kerosakan, mengapa takut? Dakwa dan hadapkan ke mahkamah! Biar pemerintah dan pihak yang dituduh bersalah itu berentap sebagai jantan lawan jantan di mahkamah.

Tapi tunggu dulu! Kalau hadapkan ke mahkamah tahanan boleh bersuara. Boleh guna peguam-peguam yang top.

No..No..No..

Jelas bahawa tahanan ISA tidak dibawa ke mahkamah adalah kerana penguasa tidak gentlemen. Takut terburai semua busung dan nanah pemerintah.

Lebih selamat cekup! Paksa tutup mulut. Sumbat ke Kem Kamunting! Ulamak songsang pula berkokok kata ya, ISA menepati kehendak syarak!

Tahan tanpa bicara bertentangan prinsip Rasullullah

Terdapat pula ulamak songsang yang berstatus tinggi telah menghujahkan ISA dari perspektif siyasah syar'iyyah. Penulisannya dicetak dalam sebuah buku kecil dan diedarkan di atas nama agensi agama tersohor.

Seterusnya penulisan itu diedarkan sebagai kertas kerja dalam kursus-kursus tatanegara.

Maka mereka pun mentarbiyyah penyokong-penyokongnya dengan fikrah bahawa menahan seseorang tanpa dihadapkan ke mahkamah adalah selaras dengan prinsip Islam!

Sayyid Abu A'la Al-Mawdudi mengeluarkan hujah yang jelas menyatakan bahawa penahanan tanpa bicara adalah amat bertentangan dengan prinsip yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.

Al-Mawdudi berhujjah dengan peristiwa Hatib bin Abi Balta'a. Peristiwa ini berlaku sebelum penaklukan kota Makkah oleh tentera Islam.

Rasulullah s.a.w sedang membuat persediaan untuk menyerang Makkah apabila salah seorang sahabahnya yang bernama Hatib bin Abi Balta'a mengirim surat melalui seorang wanita memberitahu pemimpin-pemimpin Quraisy tentang rancangan Rasulullah s.a.w tersebut.

Baginda memerintahkan Ali bi Abi Talib dan Zubair bi Al-Awwam dengan arahan: "Pergi segera ke arah Makkah, di satu tempat tertentu kamu akan menemui seorang wanita membawa sepucuk surat. Ambil surat itu dan bawa surat itu kepadaku".

Dua orang sahabah tersebut telah pergi ke tempat yang diarahkan oleh Rasulullah s.a.w dan dengan tepat menemui wanita tersebut di situ. Mereka mengambil surat tersebut daripada wanita itu dan membawa surat itu kepada Rasulullah s.a.w.

Perbuatan Hatib adalah satu pengkhianatan. Memberi maklumat rahsia tentang tentera Islam kepada musuh pada saat-saat genting peperangan adalah satu perbuatan khianat.

Sepatutnya tidak ada tindakan yang lebih wajar terhadap Hatib selain daripada dibawa ke tribunal tertutup!

Tetapi perkara ini tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Sebaliknya Hatib dibawa ke mahkamah terbuka di Masjid Nabawi di hadapan ratusan para sahabah meminta Hatib menjelaskan tindakannya mengutus surat kepada pemimpin-pemimpin Quraisy.

Hatib menjelaskan: "Ya Rasulullah, aku memang tidak menentang Islam dan tidak perlu aku lakukan perkara ini untuk mendedahkan rahsia tentera Islam. Sebenarnya anak-anak dan isteriku masih berada di Makkah dan aku tidak mempunyai anggota kabilahku untuk melindungi mereka di sana. Aku menulis surat tersebut dengan harapan pemimpin-pemimpin Quraisy terhutang budi kepadaku dan melindungi anak-anak dan isteriku sebagai membalas budiku."

Umar bi Al-Khattab bangkit dan dengan hormat mengesyorkan: "Ya Rasulullah, izinkan aku memenggal kepala pengkhianat ini dengan pedangku."

Rasulullah s.a.w menjawab: "Hatib adalah salah seorang pejuang dalam Perang Badar dan penjelasannya untuk membela diri adalah benar."

Walaupun perbuatan Hatib merupakan satu pengkhianatan yang melibatkan rahsia ketenteraan, Rasulullah s.a.w membebaskannya di atas dua sebab.

Pertama, rekod sumbangan dan perjuangan Hatib untuk Islam adalah amat cemerlang dan menjadi satu perkara yang amat mustahil beliau bertindak dengan niat untuk mengkhianati Islam dan negara. Hatib adalah pejuang dalam Perang Badar dan terbukti telah menyabung nyawanya untuk mempertahankan Islam.

Kedua, keluarganya memang benar-benar diancam bahaya di Makkah. Oleh kerana itu, jika Hatib mempamerkan sifat-sifat kelemahan di atas kedudukan anak-anaknya yang dalam bahaya, dan untuk itu telah menulis surat kepada pemimpin-pemimpin Quraisy, maka menghukumnya dengan mendedahkan tindakannya itu di hadapan kaum muslimin sudah memadai buatnya.

Allah telah menyebut bahawa keadaan Hatib dalam Al-Quran, tetapi tidak mengenakan hukuman selain daripada kecaman dan nasihat.

Al-Mawdudi menegaskan bahawa Rasululalh s.a.w tidak menggunakan tribunal tertutup kerana hanya melalui perbicaraan terbuka sahaja kebenaran dan hak dapat ditegakkan.

Islam menegaskan bahawa pemerintah bukan sahaja dituntut untuk menegakkan keadilan, tetapi usaha pemerintah untuk menegakkan keadilan juga mesti dapat dilihat secara jelas oleh rakyat.

Tiada siapa yang mempertikai keadilan Rasulullah s.a.w. Tidak mungkin ada seorang sahabatnya yang akan mempersoalkan sedikit pun keputusannya terhadap Hatib jika baginda membuat keputusan itu bersendirian.

Bahkan, Rasulullah s.a.w boleh bermusyawarah dengan beberapa orang sahaja di kalangan sahabatnya seperti peristiwa fitnah terhadap Aisyah. Dalam peristiwa tersebut baginda meminta pendapat Usamah bin Zaid dan Ali bin Abi Talib secara berasingan.

Tiada seorang pun sahabatnya yang mempertikaikan perbuatan baginda hanya merujuk kepada Usamah dan Ali dalam kes Aisyah.

Demikian juga, tidak mungkin ada seorang sahabah pun yang akan protes mahupun mempertikai jika kes Hatib diputuskan secara tertutup di kalangan beberapa orang sahabah pilihan baginda.

Kenapa ini tidak berlaku?

Jelas bahawa prinsip Rasululalh s.a.w dalam menegakkan keadilan adalah Islam menegaskan bahawa pemerintah bukan hanya dituntut untuk menegakkan keadilan, tetapi usaha pemerintah untuk menegakkan keadilan juga mesti dapat dilihat secara jelas, telus dan terbuka oleh rakyat.

Dengan itu, dalam hal-hal yang bertujuan untuk membela hak dan menegakkan keadilan, tidak wujud perbicaraan tertutup dalam Islam. Dengan itu, pastinya tidak ada penahanan tanpa bicara dalam Islam!

Islam mentakrifkan zalim sebagai tidak meletakkan sesuatu ditempatnya. Oleh itu jelas ISA adalah zalim kerana ia tidak memberikan keadilan kepada seseorang untuk mendapatkan pengadilan. Berdepan dengan penangkapan dan alasan pertuduhan, tanpa proses pengadilan tidak mungkin seseorang itu mendapatkan keadilan.

Tanpa pengadilan tiada keadilan!

Semasa saya di Kem Kamunting saya kenangkan berapa ramai lagikah manusia yang seperti saya ditahan bukan di atas kesalahan yang telah dibuktikan di mahkamah.

Bahkan yang dibawa ke mahkamah pun, tidak semestinya haknya telah terjamin. Tidak mustahil orang yang tidak bersalah ada yang merengkok bertahun-tahun dalam penjara kerana kesilapan hakim membuat keputusan.

Pengalaman ditahan di Kem Kamunting menjadikan saya mengenangkan pesanan Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Ibn Majah:

"Para hakim itu terdiri daripada tiga jenis. Satu akan masuk ke syurga dan dua lagi akan dicampakkan ke neraka. Hakim yang ke syurga adalah yang memahami kebenaran dan menetapkan hukuman berdasarkan kebenaran. Hakim yang menetapkan hukuman secara tidak adil selepas memahami kebenaran, akan dicampakkan ke neraka. Demikian juga, hakim yang menjatuhkan hukuman dalam keadaan jahil turut akan dicampakkan ke neraka."

Intipati tentang hadith di atas menekankan perihal pentingnya kefahaman dan pengetahuan para hakim. Tiga kali hadith di atas menyentuh tentang persoalan kefahaman dan pengetahuan. Pertama, hakim yang masuk syurga kerana membuat keputusan di atas kefahamannya terhadap apa yang benar dan apa yang tidak benar.

Kedua, hakim yang walaupun memahami apa yang benar dan apa yang tidak benar, tetap membuat keputusan yang tidak adil, maka tempatnya adalah neraka.

Ketiga, hakim yang jahil, iaitu tidak faham apa yang benar dan apa yang tidak benar, tetapi tetap menjatuhkan hukuman, maka tempatnya juga adalah di neraka.

Oleh itu, ISA adalah satu undang-undang yang bercanggah dengan Islam kerana penguasa yang bertindak sebagai hakim telah melanggar amaran Rasulullah s.a.w agar seseorang muslim itu melindungi dirinya daripada dicampak ke neraka oleh Allah dan tidak menjatuhkan hukuman ke atas seseorang tanpa pengetahuan atau dengan sengaja membelakangkan pengetahuannya tentang kebenaran.

Keyakinan saya bahawa saya dianiayalah yang menjadikan saya begitu hampir dengan Allah dalam doa dan munajat saya. Selain berdoa setulus-tulus hati, tarbiyyah di Kem Kamunting juga telah memberi saya satu lagi kekuatan.

Kekuatan tersebut adalah tindakan menelanjangkan kezaliman orang-orang zalim ketika diri sendiri berada di bawah cengkaman kezaliman mereka memberikan suntikan tenaga dan kekuatan daya juang yang amat luar biasa!

No comments: