Sunday, February 22, 2009

Asli vs Tiruan


"Astroturf" ialah jenama rumput tiruan yang digunakan di padang sukan atau kediaman. Di sesetengah tempat, ia digunakan sebagai rumput hiasan jalanraya (lihat gambar di atas). "Astroturf" ialah nama khas. Sama seperti Xerox dan Google. Oleh kerana ia selalu digunakan, akhirnya nama itu menjadi kata kerja.

"Boleh tolong xerox kertas ni kat saya?" kata kawan anda. Apa yang dimaksudkannya ialah "photostat".

Begitu juga dengan Google. Anda tentu pernah berkata, "Nanti awak google dan carilah maksud perkataan tu." Perkataan "google" digunakan untuk menerangkan carian enjin.

"Astroturf" ialah jenama. Bagaimanapun, ia kini bertukar menjadi kata kerja. Pengamal perhubungan awam menggunakan istilah "astroturfing" bagi menerangkan strategi yang digunakan bagi menggambarkan sokongan spontan orang ramai terhadap sesuatu isu, individu atau organisasi, walaupun pada hakikatnya ia tidak semestinya begitu.

Susah nak faham?

Tak mengapa. Biar saya terangkan dengan lebih lanjut melalui ilustrasi contoh.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Dato' Ibrahim Ali yang mengatakan daripada 307 sms yang diterimanya, hanya 11 sms saja yang menentang beliau. Kata Ibrahim, itu tanda majoriti rakyat menyokong dia. Itu "astroturfing". Ibrahim menggunakan sms untuk menggambarkan sokongan rakyat. Betulkah majoriti rakyat menyokongnya? Belum tentu.

Media massa sering menggunakan teknik ini untuk menggambarkan sokongan orang ramai kepada sesuatu perkara.

Apabila Menteri Kewangan membentangkan bajet, maka akhbar dan tv akan mewawancara orang ramai. Berapa ramai? Mungkin tiga atau empat orang. Apa mereka kata? Ini bajet rakyat. Ini bajet prihatin. Ini bajet mesra rakyat. Itu kaedah "astroturfing" di mana media massa mewawancara beberapa orang bagi menunjukkan rakyat menyokong bajet tersebut.

Apabila Speaker Dewan Undangan Negeri Perak "menggantung" Dato' Dr Zambry Kadir dan enam ADUN lain, media massa akan menyiarkan komen pengamal undang-undang yang mempertikaikan kesahihan tindakan tersebut. Itu "astroturfing" untuk menunjukkan majoriti pengamal undang-undang tidak bersetuju dengan langkah berkenaan.

Adakah Barisan Nasional saja yang berbuat begitu? Tak juga.

Media yang pro-Pakatan Rakyat juga mewawancara pengamal undang-undang yang menyokong tindakan Speaker DUN Perak. Nak lebih menampakkan sokongan majoriti, mereka juga dapatkan pandangan Speaker DUN Kedah. Itu juga "astroturfing".

Akhbar Harakah dan Berita Keadilan -- sama seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan The Star -- akan mewawancara beberapa orang yang pro-Pakatan Rakyat bagi menggambarkan sokongan majoriti kepada sesuatu isu. Teknik "astroturfing" digunakan oleh semua pihak untuk meraih sokongan rakyat.

Di Indonesia, pollster tumbuh bagai cendawan. Masing-masing membuat poll dan menyiarkan dapatan itu bagi menyokong pandangan parti politik tertentu. Adakah dapatan poll itu salah. Tidak. Habis tu, apa masalahnya?

Masalahnya ialah niat awal mengadakan poll itu ialah untuk menjuruskan keputusannya ke satu arah tertentu. Mengapa berbuat begitu? Sekali lagi, poll digunakan bagi tujuan "astroturfing"; iaitu nak tunjukkan bahawa majoriti menyokong parti tersebut.

Jawapan yang diberikan oleh responden bergantung kepada banyak faktor. Antaranya ialah soalan, tempoh masa poll, dan bagaimana poll itu dikendalikan.

Lihat soalan ini:

(1) Adakah anda setuju untuk Elizabeth Wong meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor?

(2) Adakah anda setuju Exco Kerajaan Negeri Selangor sebagai pemimpin masyarakat perlu mempunyai nilai moral yang tinggi dalam kehidupan peribadinya?

Kedua-dua soalan itu memberikan jawapan yang berbeza. Kalau ditanya soalan (1), seseorang responden mungkin menjawab "Tidak Setuju". Bagaimanapun, sekiranya dihadapkan soalan (2), responden yang sama mungkin menjawab "Setuju".

Tempoh masa poll itu dijalankan juga memberikan jawapan yang berbeza. Apabila sesuatu isu mula meletup, orang menjadi begitu emosional. Jawapannya tatkala itu mungkin berbeza apabila soalan yang sama diberikan dua minggu selepas itu apabila isu tersebut mula reda.

Begitu juga, soalan yang dikemukakan secara bersemuka mungkin berbeza dengan jawapan yang diberikan melalui telefon atau internet (online). Biasalah, manusia lebih "manis" apabila bersemuka.

Sekarang musim pilihanraya di Indonesia. Eloklah sesekali membaca akhbar Indonesia (versi online) dan melihat bagaimana poll dimanipulasi untuk menggambarkan sokongan kepada seseorang calon atau parti politik. Itu "astroturfing".

Apa lagi kaedah "astroturfing"?

Mmm ... Nanti saya fikirkan ... Mmm ... Kempen tandatangan. Buat kempen tandatangan untuk tunjukkan masyarakat menyokong seseorang atau sesuatu isu. Adakah majoriti benar-benar memberikan sokongan? Belum tentu. Tetapi kaedah "astroturfing" melalui kempen tandatangan menggambarkan majoriti menyokong.

Cukuplah setakat itu saya memberikan beberapa contoh. Lihatlah perkembangan politik semasa di sekeliling anda dan nilai sendiri adakah itu "astroturfing".

Saya berpendapat bahawa masyarakat perlu dilengkapkan dengan "literasi politik". Salah satu perkara yang perlu difahami ialah kaedah mempengaruhi rakyat melalui teknik "astroturfing". Kalau rakyat ada literasi politik, mereka lebih mudah menilai maklumat yang diterima.

Oh ya, anda mungkin bertanya, yang manakah lebih baik. Adakah rumput sebenar atau rumput tiruan? Susah nak jawab soalan tu. Bukan apa, kalau kita berada di galeri penonton, susah nak bezakan antara rumput sebenar dan Astroturf.

Begitulah hebatnya kaedah "astroturfing" sehingga ramai orang keliru mana yang asli, mana yang tiruan!

( dipetik dan diubahsuai daripada www.nobisha.blogspot.com )

No comments: