Oleh : Dato' Dr. Haron Din
SOALAN:
Akhir-akhir ini, siaran televisyen, banyak menyiarkan filem atau drama yang menyeramkan seperti Susuk, Rafik, Puaka Nian, Jangan Pandang Belakang, Jangan Tegur, Pontianak Harum Sundal Malam, Keliwon, The Seekers dan macam-macam lagi . Apakah filem-filem ini membawa kebaikan kepada masyarakat umum, terutama sekali kanak-kanak? Mohon pandangan Dato'.
- Mohd. Nizam Zakaria, Rawang
JAWAPAN:
Secara peribadi, saya jarang sangat menonton filem atau drama yang anda nyatakan. Bagaimanapun, apabila mendengar nama-nama filem yang anda sebutkan, maka dapatlah saya bayangkan apa bentuk hidangan oleh penerbit kepada masyarakat, terutama orang Melayu-Islam.
Setiap filem pasti ada mesejnya. Mesej filem-filem tersebut, adalah hendak menarik penonton terperap di hadapan TV, melalui cerita-cerita rekaan hantu dan dongengan menakutkan.
Filem-filem sebegini, ramai yang tidak mahu menontonnya. Tetapi ada yang hendak tengok juga, terutama golongan remaja dan kanak-kanak.
Akhirnya, hasil daripada menonton cerita-cerita sebegini, yang tinggal dalam fikiran mereka adalah ketakutan, kegerunan, kerisauan dan perasaan berkecamuk.
Kanak-kanak terutamanya akan takut ke bilik air seorang diri tanpa ditemani.
Tidur malam takut apabila keseorangan. Keluar rumah pada malam hari akan gerun dan takut.
Meskipun ada baiknya perasaan takut itu wujud, bagi mendidik insan mengetahui kelemahan dirinya.
Kadang-kadang ibu bapa juga menggunakan cara mudah untuk melarang anak-anak dengan menakut-nakutkan mereka, kononnya nanti dicekup hantu atau disembunyikan puaka dan sebagainya.
Tetapi jika difikirkan secara jangka panjang, masyarakat kita akan menjadi insan yang bersifat negatif, diselebungi ketakutan yang tidak menentu, pasif dan sentiasa dalam kebingungan.
Cerita-cerita rekaan mengenai makhluk halus, khususnya hantu dengan pelbagai nama, itulah sebenarnya yang menghantui masyarakat Melayu.
Berbagai-bagai tahyul direka cipta seolah-olahnya seperti suatu realiti. Untuk mengatasinya pula, direka pelbagai cara untuk menghindarinya seperti adat bersemah, berancak, berjamu makan kapada hantu, menjampi mantera yang dilarang syarak seperti minta tolong kepada hantu.
Atur cara pengubatan yang direka-reka ini merupakan perkara-perkara yang boleh melanggar syariat, sehingga membawa kepada syirik terhadap Allah SWT.
Perihal manusia meminta pertolongan kepada makhluk halus akibat ketakutan kepada mereka, bukannya perkara baru.
Dalam al-Quran Allah berfirman (mafhumnya): "Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia (daripada kalangan lelaki), menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat." (Surah al-Jin, ayat 6)
Dalam ayat ini, amat jelas Allah menyatakan, bahawa makhluk halus seperti jin, syaitan dan ifrit sememangnya wujud dan wajib dipercayai adanya mereka.
Alam mereka sama dengan alam kita. Sebahagian mereka tinggal di atas muka bumi.
Jin-jin ini sebenarnya tidak berupaya untuk memberi perlindungan kepada manusia.
Sekadar menggertak atau menakut-nakutkan mungkin boleh.
Cuma manusia yang terlebih takut kepada mereka, sehingga menyebabkan pelbagai musibah, berlaku ke atas mereka.
Pada zaman sebelum TV wujud, pada zaman media massa tidak menyebarkan cerita-cerita makhluk halus, telah pun ada kalangan ibu bapa yang menakutkan anak-anak dengan hantu dan jembalang, kerana hendak memudahkan anak-anak tidur atau menghalang mereka keluar malam.
Cuba anda tanya diri anda sendiri dan buatlah sedikit penyelidikan dengan bertanya kawan. Ajukan soalan kepada mereka, pernahkah mereka terserempak atau melihat jin-jin (makhluk halus) dengan mata kepala mereka?
Cuba tanyakan lagi, pernahkah mereka benar-benar diganggu oleh mahluk halus dan apa bentuk gangguan mereka?
Pada saya, saya yakin anda sukar menemui mereka yang benar-benar melihat jin dan mengalami kerasukan. Ini menunjukkan realitinya jarang berlaku.
Yang wujud hanyalah rekaan dan khalayan semata-mata. Ia adalah ilusi dan gambaran yang sengaja dibuat. Tetapi ia tetap memberi kesan yang buruk kepada masyarakat.
Suatu ketika, apabila suatu klip video yang tersebar di internet mengenai seksa kubur dengan mayat yang meraung kesakitan akibat terseksa hebat, menjadi heboh seketika, sehingga Kementerian Pelajaran melarang klip video itu ditayangkan atas alasan menakutkan kanak-kanak. Lalu ia diberhentikan serta merta.
Anehnya, apabila sesuatu yang berhubung dengan alam kubur, sedangkan seksa kubur itu benar dan wajib diimani, kesannya baik dan positif dari segi hukum syarak, malangnya diberhentikan tayangan atas alasan ia menakutkan.
Apakah tidak baik untuk kanak-kanak atau masyarakat umumnya, takut kepada seksa kubur yang pasti berlaku? Pada saya bagi orang Islam, wajib ditanamkan pada minda mereka bahawa seksa kubur sedang menunggu anda, yang fasik, berakhlak sumbang, berzina, mencuri atau merompak, yang meminum arak, akan menghadapi seksa kubur tersebut.
Dengannya akan terdidik semua kepada mencintai kebaikan dan menjauhi keburukan, bagi mengelak seksa kubur.
Apakah alasan tidak boleh ditayangkan kerana menakutkan hanya kepada hal-hal keagamaan yang mendidik ke arah kebaikan, sedangkan cerita-cerita tahyul tadi direkaciptakan, ia menakutkan, tetapi oleh kerana tiada kaitan dengan agama, ia dibolehkan.
Maka renungilah sedalam-dalamnya. Sekian, wallahua'lam.
Tuesday, April 28, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment