Friday, May 29, 2009

Maki Tuhan Dalam Hati

Soalan :

Saya seorang pelajar Islam dan ada satu masalah besar yang mengganggu kehidupan saya. Saya pernah fikirkan atau bercakap dalam hati (memarahi Tuhan dalam bahasa lucah). Bukan sekali tetapi banyak kali.

Kali pertama adalah pada masa saya menghadapi masalah tidak dapat mengambil wuduk secara sempurna. Saya mengambil wuduk banyak kali sampai baju saya basah. Saya jadi marah dan menangis.

Kemudian saya berwuduk dalam keadaan hati yang tidak tenang dan sedang saya berwuduk, hati saya memarahi Allah.

Saya berhenti di situ dan mengucapkan syahadah. Saya tidak tahu kenapa saya terfikir begitu.

Setahu saya apa yang saya marah itu adalah dikawal oleh akal saya, tetapi kenapa saya fikirkannya berulang-ulang atau memarahi Tuhan berulang-ulang.

Kali kedua, baru-baru ini ayah saya mendapat sakit jantung dan membuatkan saya hilang akal dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada apa-apa pun. Tidak tahu kenapa saya berasa tuhan itu membalas dosa saya (memarahi tuhan) kepada ayah saya.

Hati saya mula memarahi tuhan dalam bahasa lucah berulang kali. Maafkan saya tetapi saya perlu berterus terang.

Saya sekarang tidak dapat berfikir dengan tenang, bahkan tidak tahu sama ada saya masih seorang Islam atau tidak. Adakah saya terkeluar dari Islam atau menyekutukan Allah?

Saya juga seorang yang kurang solat. Saya harap Dr dapat memberikan saya jawapan yang dapat menyelesaikan masalah saya ini.

Jika saya sengaja melakukan perbuatan ini, adakah Tuhan akan maafkan saya dan apakah yang boleh dilakukan untuk tidak mengulangi perbuatan ini?

EMA,
Selangor.


Jawapan :

Antara sifat Allah ialah ar-Rahim (Penyayang) dan al-Ghafur (Pengampun). Segala dosa yang dilakukan hamba akan diampunkan Allah sekiranya kita benar insaf. Dengan itu saudari hendaklah bertaubat kepada Allah.

Taubat bermaksud kembali mentaati suruhan dan larangan Allah. Marahkan Tuhan atas apa-apa yang menimpa kita tidak menghasilkan apa-apa.

Ini kerana Allah Maha Kuasa melakukan sekehendak-Nya. Tidak ada sesiapapun yang boleh menyoal mengenai apa yang dilakukan-Nya. Semua yang ada adalah mililk Allah.

Allah berfirman maksudnya: "Ia [Allah] tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak." (al-Anbiya' (21): 23).

Kita tidak usah mengikut akhlak buruk orang barat yang banyak menuturkan kata makian seperti kata "damn God" dan sebagainya.

Ajaran Islam mengajar bahawa setiap perkara buruk berlaku bertujuan menguji kesabaran kita. Apabila kita diberi nikmat, ia juga ujian setakat mana kita bersyukur kepada Tuhan pemberi segala nikmat.

Islam melihat kehidupan dunia sebagai ujian bagi menentukan siapa yang terbaik di kalangan hamba-Nya.

Ini jelas apabila Allah berfirman, maksudnya: "Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)." (al-Quran, al-Mulk (67): 2).

No comments: