Wednesday, September 30, 2009

Islam di kandang orang salah..

(Tulisan ini saya petik daripada www.nobisha.blogspot.com )

Seorang teman merungut. Katanya, dia mengadu kepada seorang ketua jabatan mengenai kegagalan perkhidmatan yang disediakan. Beliau menceritakannya dengan terperinci. Oleh kerana itu bukanlah perkara pokok di sini, biarlah saya simpan aduannya itu.

Selepas beberapa kali mengadu, akhirnya ketua jabatan memanggil beliau. Dalam pertemuan itu, ketua jabatan tersebut berkata, "Awak sepatutnya bersyukur. Cuba awak lihat di luar sana, masih ramai lagi yang tak ada pekerjaan. Bersyukurlah dan terimalah semua ini seadanya. Usah mengadu!"

Dia menceritakan hal itu kepada saya dengan nada kesal. Pertama, kesal kerana aduannya disisihkan begitu saja. Kedua, kesal kerana konsep syukur yang cukup murni disalahgunakan bagi menutupi kelemahan perkhidmatan.

Cerita beliau mengingatkan kisah seorang rakan yang baru pulang umrah. Pengalamannya di sana agak teruk. Masalah pengangkutan dan penginapan. Apabila dia mengadu kepada agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan tersebut, reaksi yang diterima ialah, "Ini semua adalah ujian Allah s.w.t. kepada semua pengunjung tanah suci Mekah."

Rakan itu tidak dapat menerima kata-kata tersebut; apatah lagi meletakkan kegagalan memberikan perkhidmatan kepada Allah s.w.t.

Kata sahabat tadi, inilah jadinya apabila Islam diheret dan dipersalahkan setiap kali manusia melakukan kesalahan: Islam diletakkan di kandang orang salah dan menjadi "punching bag" bagi menutupi kelemahan kita sendiri!

No comments: